بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Khamis, 31 Oktober 2013

Buku terapi Ayat Ilahi daripada AI

Assalamualaikum

Semasa AI balik baru ni, dia belikan saya buku Terapi Ayat Ilahi ni. Katanya bagus buku ni. Bacalah. Tiba-tiba je dapat hadiah buku. AI susah nak beli buku melainkan buku yang betul-betul bagus untuk di baca. Mungkin disebabkan saya kerap juga pergi buat rawatan menggunakan ayat-ayat Al-Quran maka dia beli buku ni untuk saya lebih faham.

Saya baru baca sedikit (masuk bab 5). Memang menarik bukunya. Betapa hebatnya kuasa ayat Ilahi buat kita semua. Dengan mendengar ayat-ayat Al-Quran, sistem saraf kita yang rosak boleh diperbaiki. Tak hairanlah ada yang boleh sembuh dari kanser hanya membaca dan memperdengarkan ayat-ayat Al-Quran.

Teringat arwah ayah saya yang lama juga uzur akibat masalah paru-paru. Setiap kali mak saya bacakan ayat Al-Quran, arwah akan cakap "tenang saya bila dengar awak baca". Nafas yang kencang pun jadi lebih tenang.







Maaf gambar kurang memuaskan. Kalau tak nampak baca di skrin, klik je pada gambar ok. Jika rasa menarik bolehlah membelinya. Saya belum khatam lagi membacanya. Kena cari suasana tenang untuk memahami. Baca je tapi tak fokus tak boleh juga. Tak faham apa yang dibaca. Maklumlah ada anak murid sorang di rumah yang sentiasa suruh fokus pada dia ;)


Rabu, 30 Oktober 2013

Pertama kali singgah Masjid Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur

Assalamualaikum

Sambungan dari entri sebelum ni. Lepas balik dari KLCC kami menuju ke Jalan Duta pula. Disebabkan belum solat kami singgah di masjid Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur kerana itu yang paling hampir dengan laluan untuk ke office kontraktor. Namun AI tak jadi pergi office sebab barang yang nak diambil tiada. Maka lepas solat kami terus balik.

Besar sungguh masjid ni. Nak ambil gambar penuh pun tak boleh sebab atas bukit.

Iman cari ikan :)

Ni bahagian atas.. Luas ruangan terbuka ni.. ada kerja-kerja membaik pulih di sini.

Ruangan solat yang sejuk sebab ada aircond :)

Yeay Iman dah sampai sini.. tiba-tiba dia buat macam tu bila saya nak ambil gambar :)

Semenjak akhir-akhir ni banyak pula entri tentang masjid. Kebetulan sebenarnya. Dah singgah rakam je kenangan yang ada. Suka tengok binaan masjid. Cantik-cantik semuanya.

Laman resmi masjid wilayah perseketuan Kuala Lumpur : http://www.masjidwilayah.gov.my/v1/. Boleh tengok aktiviti di masjid ini dan juga masjid lain. Menarik websitenya.


Selasa, 29 Oktober 2013

Ke Taman KLCC sementara menunggu AI

Assalamualaikum

Hari Khamis malam minggu lepas AI balik semula ke sini. Ada masalah sikit nak masuk Iraq jadi dari menunggu di Dubai dia kata lebih baik balik. Tak puas main dengan Iman katanya. Saya dan Iman ambil AI di airport. Beritahu Iman nak ambil ayah. Bukan main seronok lagi dia. Tergamam bila nampak AI depan mata.

Esoknya teman AI pergi office. Iman request nak main di taman. Jadi saya bawalah dia ke taman KLCC tu. Tak ingat pernah bawa Iman datang sini ke tak. Mujurlah Iman tak merengek nak mandi bila tengok kolam mandi di situ. Bukan apa tak bawa baju untuk mandi manda.

akhirnya berjaya juga dapat gambar yang menarik ni ;) perasan.. menarik ke?

muka seronok tengok air. "air pancut mi"

Tengoklah orang lain mandi manda.

Tak ramai orang. Maklumlah hari bekerja. Tambah panas lagi. Sibuk suruh ummi bawa kereta tu, dia nak duduk belakang. Mana boleh nak oii... nanti kena "priiittt". Orang dewasa tak boleh main ya.. Mujur masa saya naik buai diorang tak perasan ;) tak tau lagi masa tu. Yang mana tak selamat tu.. kenalah tiup wisel. Malu juga kalau kena ;)

"tolong saya" ayat kegemaran Iman sekarang ni. Takde kawan macam tu lah gayanya. Tunjuk perasaan :)

Puas lah Iman main buai hari tu.. Lama juga tunggu AI.. Berpeluh-peluh dibuatnya.


Isnin, 28 Oktober 2013

Ayuh skipping

Assalamualaikum

Tali skipping dan lapik yoga untuk bersenam

Terbaca dalam majalah kesihatan bermain tali skipping bagus untuk kesihatan. Terus semangat membeli tali skipping di Jusco. Macam-macam jenis tali ada. Ada yang ada counter lagi. Tapi saya beli yang biasa je ;)

Balik dari beli terus melompat. Padahal dah malam. Kedepek-kedepek bunyi tali kena lapik yoga tu. Semangat untuk mencuba. Dah lama sangat tak main skipping. Mengah juga. Iman tengok pun hairan. Kenapalah ummi ni melompat malam-malam ;) tergelak tengok muka dia. Dia pun nak melompat juga. Tapi tali panjang. Nak kena cari untuk budak-budak punya. Di mana ada jual ya?

Memang berkesan untuk keluarkan peluh dengan cepat. Buat sikit-sikit dulu. Terus banyak nanti keras pula urat kaki sebab terkejut :) alat senaman yang murah dan mudah. Rajin dengan tak je nak buat ;)

Kelebihan skipping yang diambil dari majalah kesihatan:

Lompat tali atau skipping merupakan senaman yang praktikal dan sederhana dalam membantu melatih sistem kardiovaskular, mengencangkan otot serta melangsingkan tubuh. Apa yang pasti, ia menggunakan kekuatan kaki dan mampu membakar sehingga 450 kalori dalam masa 30 minit.

Untuk yang kurus macam saya. 5 minit je boleh tak? Sekejap je dah penat dan berpeluh lagikan 30 minit ;)

Ahad, 27 Oktober 2013

Iman makan durian Kelantan

Assalamualaikum


Semasa balik Kelantan baru ni. Iman bersungguh nak makan durian. Beli sebiji untuk dia. Itupun ma tok yang bersungguh suruh AI beli sebab kesian Iman terliur nak makan :) AI tak suka makan durian. Takut sakit. Dulu masa remaja pernah kena demam teruk lepas makan durian, tu yang AI serik.

Durian Kelantan sedap juga. Lemak-lemak pahit. Iman tak makan banyak pun seulas je.. selebihnya ummi dengan ma tok makan. Itu pun tak habis. Sebiji RM3 sahaja. Besar juga buahnya. Walau pilih yang paling kecil.

Iman mula makan durian masa pak utehnya (adik lelaki saya) beli durian di rumah nenek dia baru-baru ni. Kena dengan selera agaknya. Tu yang teringat-ingat. Pantang nampak orang jual. Mesti cakap "mi.. nak durian mi..". Tapi ummi tak beli pun. Sebab ummi pun makan sikit je. Sedap memang sedap. Tapi makan buat rasa je ;)

Sekali sekala bolehlah bagi Iman makan. Mujur makan sikit je. Tu ajar setiap kali makan, minum air dalam kulit durian supaya badan tak panas atau sakit tekak.

Jumaat, 25 Oktober 2013

Putih-putih melati merah-merah delima

Assalamualaikum

Putih-putih melati
Merah- merah delima
Siapa yang baik hati
Pasti ku terima

Pucat je rupa

mujur dalam masih merah

Buah delima ni pemberian dari nenek Iman. Baru ni berebut makan dirumah nenek, jadi hari Rabu nenek Iman dah janji nak belikan di pasar malam. Dapatlah kami 2 biji :) Pucat je rupanya.. tapi isi dalamnya manis. Iman suka buah ni.. Murah pula harganya di pasar malam. Cuma Rm10 untuk 5 biji. Besar pula tu.

Iman suka nyanyi lagu di atas tu. Rangkap tu je lah... terikut-ikut sepupu. Tapi dia yang masih kekal nyanyi. Dalam hidup ni memang sentiasa kena baik hati ya Iman. Jika kita baik maka yang baik juga kita dapat, Inshaallah.

Kelebihan membaca Surah Al-Kahfi pada hari Jumaat

Assalamualaikum

Hujan dipagi Jumaat sangat indah bunyinya. Lebih indah jika dapat membaca surah Al-Kahfi. Semoga sama-sama mendapat manfaatnya. In sha Allah.

Daripada Muaz ibnu anas al Juhari, daripada bapanya, daripada Nabi saw Baginda bersabda :
“sesiapa membaca dari surah Al-Kahf maka jadilah baginya cahaya daripada kepala hingga kakinya dan sesiapa yang membaca keseluruhan ayat Al-Kahf maka jadilah baginya cahaya antara langit dan juga bumi.” 

Dan daripada Umar ra. bahawa beliau berkata, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud : 
“sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada hari jumaat maka bersinarlah cahaya daripada bawah kakinya hingga ke langit, untuknya dihari kiamat dan diampunkannya antara 2 jumaat.”

Selain dari itu ada sebuah lagi hadis menceritakan bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
“sesiapa yang membaca surah Al-Kahf pada malam atau siang jumaat, maka diampunkan dosanya hingga jumaat akan datang, dan 70 ribu malaikat memohonkan rahmat kepada Allah hingga waktu subuh dan dijauhkan Allah dari terkena wabak penyakit demam panas atau ta'un, penyakit sopak dan dijauhkan dari fitnah dajjal.”

Semoga kita semua tergolong dari orang yang dirahmati Allah dan berusaha mendekatkan diri kepada Allah, hendaklah kita ingat dengan sabda Nabi saw yang bermaksud : 
“sesungguhnya Allah tidak melihat gambaran lahir kamu tetapi Allah melihat batin (hati) kamu.” Sumber


Khamis, 24 Oktober 2013

Petua hentikan cirit birit

Assalamualaikum


Untuk yang belum tahu. Cara mudah untuk hentikan cirit birit adalah dengan minum teh pekat tanpa gula. 1 uncang teh untuk setengah cawan air. Yang penting pekat dan rasa kelat. Memang berkesan buat saya dan keluarga. Petua ni mak mertua saya yang ajar semasa kena cirit birit di Kelantan lama dahulu.

Selamat mencuba.

Tahniah Brunei laksana hukum hudud

Assalamualaikum


Kagum dengan Brunei. Tahniah!

Memetik laporan Brudirect.com, undang-undang Islam ujar baginda, adalah pengetahuan dan sistem yang unik dan sangat cantik dan sudah tentu akan dipilih apabila difahami, namun jika ia tidak difahami, ia akan dibenci.

"Tetapi sejak manusia tidak mahu memahami, undang-undang itu dilihat sebagai buruk dan menakutkan. Segala puji bagi Allah yang Maha Kuasa, kita dipandu oleh-Nya untuk melihat dengan jelas keindahan undang-undang Islam.


Jom makan di Space U8 food court

Assalamualaikum

Semalam ambil adik yang buat praktikal di Shah Alam tu. Tak sihat jadi minta separuh hari bekerja je. Apalagi telefon lah kakak dia yang free ni. Ambil dia lewat sikit. Sampai pukul 2. Merengek-rengek dia lapar. Kesian, lepas ambil terus bawa pergi makan di Space U8. Itu yang paling hampir dan tak ramai sangat orang. Food courtnya baru mula beroperasi, tak banyak yang buka lagi.



Dera orang tak sihat ambil makanan sambil nak tunjuk view food court.

Ini menu yang di order. Orang demam makan bubur dengan sup daging. Orang sihat makan nasi dengan sup ayam :). Rasanya tidak menghampakan dan harganya memang budget satu set cuma RM6 sahaja. Air buah tu standard lah RM2.50 ke atas.

Bagi peluang Iman naik kereta. Tempat luas, seronok lah dia.

Rabu, 23 Oktober 2013

Bermula episod nak ayah

Assalamualaikum

Semalam kami hantar AI ke KLIA. Cemburu betul masa dengan kami. Dua minggu rasa begitu cepat. Baru nak manja-manja dengan AI. Sedih.. semua pun sedih, tapi nak buat macamana... rezeki harus dicari. Setiap orang punya rezeki yang berbeza. Ya tak? Kalau di sini sudah cukup. AI pun tak sanggup nak pergi meninggalkan insan-insan tersayang.

Seronok sangat dia bila ada ayah. Macam dunia, dia yang punya ;)

AI yang ambil gambar ni..

Ini juga..

Ini pun juga..

Ini pun AI ambil masa di Pahang. Kalau betul boleh jadi ultraman, dah lama Iman terbang agaknya ;). Hidup dunia realiti tak sama dengan alam fantasi yang boleh membayangkan semua yang indah sahaja. Realiti hidup.. akan lalu saat yang bermacam rasa. Iklan sedih sekejap ;)

Bermulalah ayat "nak ayah" entah satu hari berapa kali disebutnya. Tak keruan ummi dibuatnya. Kena cari kawan untuk main baru tak teringat sangat. Semua yang ditinggalkan pasti sedih. Kekuatan bergantung pada kepercayaan kita kepada Allah. Itu yang membuatkan kami kuat.

Bermalam dan singgah pantai Teluk Cempedak di Kuantan

Assalamualaikum

Tak larat meneruskan perjalanan, kami bermalam di hotel Seri Malaysia, Kuantan. Dah lewat pun pukul 1 pagi. Mengantuk sangat dah mata ni.. Tertidur pun. Driver je yang tak mengantuk. Iman dah lama terlelap. Balik macam ni tak rasa penat sangat badan. Lepas sarapan keesokan paginya, kami meneruskan perjalanan semula dan singgah sebentar di pantai Teluk Cempedak.

Senyum je dari dalam kereta melihat telatah ayah dan anak.

Suka bila dapat keluar dari kereta. Asyik duduk dalam kereta je bosan juga dia.

Seronok main pasir.

Kami pergi pantai berhampiran mini zoo. Tak pergi kawasan pantai tempat orang ramai tu.

Ambil dari dalam kereta je ;)

Kami selamat tiba Kuala Lumpur pukul 2 petang. Tak terus balik rumah. Singgah Pertama Complex dan office. AI nak beli dan ambil barang.

Isnin, 21 Oktober 2013

Singgah Masjid Kristal Terengganu

Assalamualaikum

Kali ni kami pulang ikut Terengganu. Saja tukar angin. Bosan juga ikut jalan serupa tiap kali balik Kelantan. Sambil tu boleh melawat Terengganu sekali ;) Dah lama sangat tak pergi Terengganu. Mulanya AI macam malas-malas juga. Saya yang beriya-iya. Turut jugalah AI :)

Bertolak lewat, hujan pula lebat. Mulanya nak cari keropok, tapi saya ajak AI melawat masjid kristal. Sajalahkan... bunyinya je dah menarik. Iman pun teruja bila sampai sini. Kami sampai hampir nak masuk waktu maghrib. Jadi berpeluanglah solat di sini.

AI tanya kenapa panggil masjid kristal? Takde pun kristal. Rupanya kristal tergantung di tengah-tengah kubah dalam masjid. Nak ambil gambar segan pula ;)

Masa baru sampai

AI ambil peluang bergambar bertiga. Semoga 'masjid' kami seindah masjid ini yang berkilauan :)

Seronok tengok Iman yang turut teruja. Selalu susah nak suruh bergambar. Di sini macam-macam gaya dibuatnya.

Cantik pemandangan keliling masjid ni. Ramai orang ambil peluang bergambar. Termasuk kami ;)

Pintu tepi.. cantik kan?

Gambar masjid waktu malam

Pergi mana-mana mesti Iman dapat kawan. Bila tanya Iman.. siapa ni.. abang.. kawan Iman :)


Gambar terakhir sebelum meninggalkan masjid

Sabtu, 19 Oktober 2013

Menikmati keindahan pemandangan kuala sungai Kedai Buluh

Assalamualaikum

Dalam entri sebelum ni, saya letak kecil je gambar pemandangan muara sungai di kampung Kedai Buluh. Saja... kerana banyak gambar yang dirasakan menarik untuk disimpan dan dikongsikan. Saya gemar ambil gambar pemandangan.





Gambar lebih kurang sama ;). Masa ni hujan renyai-renyai. Cuba kira berapa ekor lembu yang ada dalam gambar yang terakhir. Saya masih ingat berapa ekor yang ada di situ sebab Iman sibuk mengira ;)