بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Isnin, 31 Disember 2012

Iman pertama kali 'terbang'

Assalamualaikum

Alhamdulillah. Kini saya, Iman dan ma tok Iman berada di Kelantan. Hari ni hujan turun tanpa henti. Sejuk kaki tangan. Jimat elektrik tak perlu buka kipas ;) Saya ajak mak mertua balik sementara tunggu AI pulang dari Abu Dhabi. Tukar angin pantai timur pula. Saya suka juga duduk Kelantan. Rasa tak serabut sangat. Makan pun sedap ;)

Semalam merupakan pengalaman pertama Iman menaiki kapal terbang. Terujalah dapat melihat kenderaan pujaan depan mata :) takut pun ada. Terpaksa dukung naik tangga. Di bawah gambar yang sempat dirakam.


Tunggu ma tok masuk bilik air sebelum berlepas. Dah teruja nampak kapal terbang masa ni. Tak sabar nak naik.


Mulanya takut nak duduk kerusi sendiri, terpaksa pangku.


Baru nak take off. Berangan bawa kapal terbang lah Iman ni. Panjang muncung buat bunyi kapal terbang.


Disebabkan mata dah mengantuk, lepas sahaja take off Iman terus terlelap ;) terpaksalah pangku. Nyenyak tidur.. bila sampai airport Pengkalan Chepa, terjaga sekejap dan sambung lagi tidur dalam teksi pula. Kebetulan jalan sesak orang balik kerja.


Ma tok yang suka tengok gelagat Iman. Lawa tak mak mertua saya ;) kalah menantu yang super simple ni :) untuk pengetahuan MIL tiada kening.. jadi bila keluar dia suka lukis.


Lihat sahajalah saya yang 'natural' ni :)

Ahad, 30 Disember 2012

Air Zafaran rawatan alternatif buat 'gangguan'

Assalamualaikum

Nak cerita tentang air Zafaran. Sebelum ni entri tanda-tanda ada gangguan. Lepas ada gangguan kenalah ikhtiar apa yang patut. Mungkin ada yang tak percaya. Tapi bila gangguan benar-benar mengganggu kenalah ikhtiarkan sesuatu. Mulanya tak tahu juga. Tapi lepas di bacakan ayat-ayat al-Quran ternyata ada yang mengganggu.

Takpelah fikir positif. Mungkin dengan ini kita lebih dekat dengan Allah. Mulut tak berhenti berzikir dan membaca ayat-ayat al-Quran. Usaha sendiri adakala tidak cukup. Perlu juga jumpa ustaz atau ustazah. Bila orang lain bacakan pada kita kesannya berbeza. Itu pesan ustazah yang saya jumpa. Sambil pasang ayat ruqyah untuk di dengar.

Saya baru kenal dengan ustazah ni. Dia belajar di Mesir dan merupakan ustazah di sekolah. Baru sekali buat rawatan dan terpaksa tunggu bulan 4 untuk sambung kembali. Ustazah ni tunggu hari untuk bersalin. Dan dijangka bulan 4 habis tempoh berpantang. Kagum juga dengan kebolehan ustazah ni. Nantilah saya cerita.. Insyaallah.


Macam-macam air yang dibacakan ayat al-Quran saya minum. Terbaru saya cuba air zafaran ni. Mulanya nak beli air musoffa. Tapi masa tu ada kakak ni dan maknya beriya suruh saya cuba air ni. Saya pun beli. Ada kesan? Ada jugalah.. tempat ada gangguan rasa sakit sikit. Apa pun hanya Allah yang tahu.

Saya selalu berdoa agar Allah kuatkan keimanan dan berikan kesabaran yang tinggi untuk saya melawannya. Saya pun tak mahu fikirkan sangat. Takut jadi lain. Yang penting ikhtiar. Insyaallah dijauhkan. Maaf lah tak boleh nak cerita secara terperinci apa jenis gangguannya. Doakan semoga Allah membantu saya.

Khamis, 27 Disember 2012

Tanda-tanda ada gangguan makhluk halus atau jin

Assalamualaikum

Kadang-kadang kita tak tahu yang diri kita ni di 'ganggu'. Jadi jika ada tanda-tanda di bawah bolehlah berjumpa ustaz atau ustazah ataupun pengamal perubatan Islam yang bertauliah.

  1. Terlalu susah untuk tidur malam dan sering terjaga pada waktu malam dalam keadaan cemas, takut serta runsing.
  2. Seringkali mimpi yang menakutkan.
  3. Merintih dan menangis ketika tidur.
  4. Mimpi melihat binatang seperti kucing, anjing, tikus, serigala, ular dan sebagainya.
  5. Jika mimpi dipatuk ular berkemungkinan petanda sihir / santau telah pun masuk ke dalam tubuh seseorang.
  6. Bunyi gigi berlaga ketika tidur.
  7. Mimpi jatuh dari tempat yang tinggi.
  8. Mimpi berada ditempat yang sunyi atau berada di perkuburan.
  9. Mimpi bayi atau kanak-kanak kecil dan menyusukan bayi tadi.
  10. Terdengar suara menyergah ketika tidur.
  11. Sakit kepala yang luar biasa dan berterusan tanpa sebab klinikal.
  12. Sakit pada tulang rusuk kiri dan kanan.
  13. Sakit pada tulang punggung tanpa sebab.
  14. Terasa ada sesuatu yang menyentap kaki.
  15. Sakit pada bahagian perut tanpa sebab.
  16. Terasa ada kelibat yang mengekori atau melintas di belakang.
  17. Timbul rasa takut tanpa sebab.
  18. Takut untuk menziarahi jenazah.
  19. Terasa nampak bayangan yang menakutkan.
  20. Nampak makhluk aneh dan menakutkan.
  21. Ada perasaan seperti hampir menemui ajal.
  22. Sering berkeadaan amat lesu dan sangat malas.
  23. Selalu berkeadaan lenguh disendi-sendi dan tulang belakang.
  24. Terasa seperti terpijak batu atau telur di tapak kaki.
  25. Merasa ragu-ragu tentang keimanan dan lain-lain.

Maklumat ini saya ambil dari nota dalam kotak Minyak Penawar Munajat yang saya beli di Darus Syifa, Sejangkang. Jika ingin membeli minyak ini yang digunakan sebagai pendinding boleh layari www.munajatoil.com



Selasa, 25 Disember 2012

AI jumpa Fahrin Ahmad di Abu Dhabi

Assalamualaikum


Petang tadi dapat SMS dari AI. Dia kata jumpa Fahrin Ahmad dan makan sekali. Sebenarnya AI tak kenal siapa Fahrin :) bila Fahrin beritahu dia artis di Malaysia. Dia tahu pasti saya kenal ;) siapalah tak kenal Fahrin Ahmad kan? AI siap Email ke saya gambar mereka berdua.

AI memang jarang sangat tengok cerita Melayu sebab tu dia tak kenal :) Saya cari aktiviti terbaru Fahrin Ahmad melalui google. Rupanya FA ke sana untuk penggambaran drama Rindu Bertamu di Abu Dhabi. Siapa yang like Facebook FA pasti dah tahu. Dia sentiasa update perkembangan terbaru.


Ini antara gambar yang terdapat di Facebook FA.fanpage dengan status "An Evening In Abu Dhabi.... with LOVE & FAITH, F.A

Tiba-tiba buat entri tentang artis pula ;) alang-alang AI dah jumpa kenalah review sikit kenapa FA ada di sana.


Iman kunci diri dalam bilik

Assalamualaikum


Selamat bercuti semua.... Ini cerita minggu lepas sedang ummi sibuk mengemas, nenek pula tengok TV, Iman hilang entah ke mana. Tiba-tiba dengar pintu di tutup dan dengar suara dia menangis dalam bilik. Saya pun cuba buka pintu tapi tak boleh. Saya suruh dia buka. Dengar bunyi dia pusing kunci tapi masih tak boleh buka. Ma tok pun dah mula risau. Suruh cari kunci. Saya ingat-ingat lupa kunci kat mana.

Iman pula dengar kami kat luar kelam kabut lagilah dia kuat menangis. "ummmmiiii" panjang betul sebut ummi dia. Saya pun lari naik atas. Tengah saya cari kunci tingkat atas. Mak mertua saya pun naik. Dia takut sangat Iman lemas dalam bilik. Bilik bawah ni kecil, aircond pula tak buka. Mesti dia kepanasan. Saya ni tenang lagi. Sebab dapat rasa boleh cari kunci ;)

Mujur cepat jumpa kunci. Tempoh kejadian tak sampai 5 minit. Bila saya buka pintu, nampak Iman menangis sambil sujud atas lantai. Saya ambil terus peluk dia. Ha tu lah. Lepas ni mesti serik nak kunci pintu lagi. Pintu rumah saya ni dah tukar pada jenis pemegang. Kuncinya jenis pusing. Jadi susah sikit nak buka. Saya pun kadang tak ingat pusing ke mana. Macam-macam kan? Siapa-siapa ada anak kecil kenalah beringat. Yang penting kunci senang nak cari ;)

Kita pun tak boleh panik juga.. ma tok Iman cepat panik. Lepas je pintu terbuka... terus mandi. Sebab badan panas risau takut Iman lemas. Atau dengan kata lain berdebar sangat-sangat ;) kesian ma tok. Sampai sekarang lupa nak cerita pada AI. Kalau AI dengar cerita ni, mesti dia pun risau.

Lepas kejadian tu, terus ambil kunci pintu bilik letak sekali dengan kunci rumah. Sebelum ni tak ingat nak letak. Bertambah beratlah kunci rumah yang sememangnya dah berat ;)

Ahad, 23 Disember 2012

Kena tulis ROTI atas jalan macam iklan agaknya

Assalamualaikum

Sebelum cerita lebih lanjut. Sebelum ni rasa tak kena je iklan budak perempuan tulis perkataan roti atas jalan. Nampak bijak. Tapi bahaya tu tulis ROTI atas jalan. Kalaulah ada yang tiru, haru juga ibubapa.  Banyak negatif dari positif.

Tutup cerita mengenai iklan tersebut. Alkisahnya sudah dua hari nak beli roti tapi tak dapat. Asyik terlepas je. Lepas tu saya senyum sorang-sorang. Teringatlah iklan yang diceritakan tadi. Mulanya macam tak setuju bila tengok iklan yang asyik terlepas ROTI tu. Sekali dah kena baru tau. Nak jual roti tapi bawa habis laju. Kita ni nak pakai tudung, ambil duit, belum anak sibuk nak ikut lagi.

Nak tergelak pun ada. Macamanalah orang nak beli kalau dah bawa laju macam tu. Agak-agaknya uncle roti baca tak? Rasanya kalau dia tengok iklan tu baru dia perasan agaknya ;) lepas ni kalau berjaya 'tangkap' dia. Nak bagitau kat dia "lainkali jangan laju sangat".


Jumaat, 21 Disember 2012

Renew insurans & road tax kereta berusia 13 tahun

Assalamualaikum

Semalam renew insurans dan road tax kereta kami yang sudah pun berusia 13 tahun ;) alkisahnya mula-mula pergi AmAssurance untuk renew macam biasa. Setelah menunggu agak lama, sampai giliran saya.. malang sekali kereta berusia 13 tahun tak diterima oleh AmAssurance. Saya diberitahu supaya ke Pejabat Pos untuk renew. Malangnya hari tersebut sistem pula ada masalah.

Saya cerita untuk berkongsi pengalaman. Semalam saya tanya pejabat pos, katanya di situ boleh terima setakat usia kereta 15 tahun. Jadi saya tertanya-tanya juga.. habis kereta-kereta lama yang lebih 15 tahun renew di mana? Kalau ada sesiapa yang tahu boleh kongsi di sini. Sayang sebenarnya nak jual kereta ni. Ianya merupakan kereta kedua kami dan kekal hingga kini. Kereta pertama, ketiga dan keempat hanya sementara sahaja. Jodoh tak panjang ;) Umur kereta ni sebaya usia perkahwinan kami. Banyak kenangan manis bersamanya.

Kami jaga macam menatang minyak yang penuh ;) kereta ni tak pernah buat masalah besar pada kami. Adalah sekali dua masa balik Kelantan dia buat hal, tapi belum tahap kena towing. Masalahnya berpunca dari kesilapan sendiri. Raya tahun ni balik Kelantan tiada masalah pun setelah di tukar apa yang patut ditukar. Terasa macam naik kereta baru ;) Enjin memang tiada masalah setakat ni.

Biarlah ada yang kata kereta 'lama' tak patut guna. Tapi kami tahu kemampuan kereta kami ;) memang ada perancangan ingin beli yang lain. Tunggu masa yang sesuai dahulu. Apa pun yang ni tetap kami simpan selagi boleh.



Lepas renew dapat borang Senang Menang ni di pejabat pos. Hadiah-hadiahnya menarik juga. Teringin nak dapat. Insyaallah kalau ada rezeki. Tolong doakan ya :) kalau dapat Proton Preve alhamdulillah.. bertuahnya... tak perlu keluar duit beli kereta ;)

Isnin, 17 Disember 2012

Peluang AI melihat bangunan tertinggi di dunia

Assalamualaikum

Jumaat baru ni AI berpeluang melihat mercu tanda Dubai yang bergelar Burj Khalifa dan juga merupakan bangunan tertinggi di dunia pada masa ini. Dahulu bangunan ini bergelar Burj Dubai. Kenapa bertukar kepada Burj Khalifa? Boleh baca DI SINI.

Perjalanan dari Abu Dhabi ke Dubai mengambil masa 1:30 jam. AI ke sana atas urusan kerja. Adakala tuntutan kerja membolehkan kita melawat tempat-tempat menarik di negara orang. Dengan kata lain, menyelam sambil minum air ;)


Burj Khalifa atau nama lamanya Burj Dubai

Saya ada terbaca membina bangunan yang tinggi-tinggi juga merupakan salah satu tanda-tanda hampirnya kiamat. Pendapat saya ianya hanyalah satu pembaziran serta menampakkan sifat riak di kalangan pemimpin negara. Sedangkan rumah Allah (Kaabah) tidaklah setinggi mana dan binaannya biasa-biasa sahaja. Ianya di bina oleh Nabi Ibrahim atas perintah Allah. Berbeza dengan piramid yang pernah bergelar bangunan atau binaan tertinggi serta dikagumi dunia yang di bina oleh kaum firaun atas perintah rajanya untuk melihat tuhan Nabi Musa. Jadi contoh binaan mana yang harus diikuti? Tepuk dada tanya iman.

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: "Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta". (al-Qasas: 38).


Bangunan tertinggi di Dubai sebelum ini yang juga antara bangunan tertinggi di dunia. Bernama Burj Al Arab


p.s: Gambar-gambar di atas dikirimkan oleh AI melalui Email.



Sabtu, 15 Disember 2012

Periksa HATI

Assalamualaikum

Belajar mengenal HATI... Tertarik bila melihat ayat Ustaz Azhar Idrus ini di FB. Sama-sama kita menjaganya dan berubah menjadi yang lebih baik. 


Rasulullah s.a.w bersabda:

"Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain".

Riwayat Muslim

Seseorang yang berakhlak mulia akan mendapat pahala dan boleh mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan kebajikan kepada orang lain. Orang yang melakukan dosa tidak akan mendapat ketenangan jiwa didalam hidupnya. Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana ia sebesar besar kebajikan dan janganlah melakukan dosa kerana dosa itu ialah azab seksa, yang dirasai baik didunia mahupun diakhirat.

Rasulullah s.a.w bersabda: 

"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian maka hendaklah ia memuliakan tetamunya."

Sumber: FB Tanyalah Ustaz


Jumaat, 14 Disember 2012

Singgah tapi tak komen..

Assalamualaikum

Dah lama tak buat entri macam ni. Orang macam saya memang suka sikap terus terang. Saya juga belajar dari pengalaman dan kesilapan.

Balik pada tajuk... singgah tapi tak komen tu sebenarnya banyak sebab. Bergantung pada individu masing-masing. Ini pula alasan saya kenapa tak berbuat demikian. Sekarang aktiviti berblog agak terhad. Mata saya alah pada cahaya. Itu antara salah satu sebabnya. Kebanyakannya alasan susah nak curi masa.

Antara alasan saya:
  1. Blog heavy / lambat nak buka. Untuk pengguna komputer mungkin tiada masalah. Tapi bagi pengguna IOS / Android / Smartphone mungkin bermasalah. Alasan ni lebih kepada kenalan blogger saya. Bagi yang ingin tingkat trafik blog atau memudahkan pembaca blog, kenalah ringankan blog. Mungkin ada yang tak kisah semua tu... it's ok.
  2. Bila jumpa blog melalui carian google. Sekadar baca dan tutup. Mungkin sebab tak kenal. Tapi ada masa tinggal juga komen. Itupun kalau rasa teringin nak share pengalaman atau berterima kasih.
Cukup rasanya dua ni sahaja... jadi tak banyaklah alasan saya ;) Sebenarnya banyak kebaikan jika kita meninggalkan komen. Jika komen menarik pasti ada orang tertarik ingin mengenali kita. Kadang orang lupa kita. Bila kita singgah dan komen orang akan ingat kita kembali ;)

Jadi jangan malu-malu tinggal komen. Sebolehnya baca dahulu baru komen. Maaf lah ada masa saya tersenyum juga bila baca komen orang sebab nampak sangat tak baca apa yang di tulis. Mungkin sebab tu saya lihat ada yang tulis baca dulu baru komen ;) biarlah apa yang kita lakukan itu ikhlas. Jangan fikir sekadar ingin meninggalkan jejak.

Dulu saya sedaya upaya membalas jejak. Tapi disebabkan kekangan masa saya tak boleh nak buat macam tu. Jadi mana yang sempat saya akan tinggalkan komen ikhlas saya ;) jadi jangan ada yang berkecil hati. Sentiasa fikir positif. Pengakuan ikhlas... kalau tajuk entri menarik. Terus nak singgah ;)


P.s: masing-masing ada tujuan sendiri... jadi sendiri tahu apa yang patut dilakukan mengikut kehendak. Yang penting tiada paksaan dalam diri ;) ini sekadar pendapat peribadi. Maaf sangat-sangat jika tersalah kata.

Khamis, 13 Disember 2012

Minat Iman

Assalamualaikum

Walaupun sebelum ni ada sebut apa yang Iman minat, tapi kali ni saya buat entri khas mengenai minat Iman. Untuk pengetahuan Iman bila besar nanti.


Iman suka sangat dengan kapal terbang sejak Iman kenal apa itu kapal terbang. Ayah kata bolehlah jadi pilot. Tapi ummi tak berapa setuju. Sebab tak mahu Iman selalu tinggalkan ummi nanti, cukuplah sekadar jadi engineer kapal terbang ;). Ummi mahu Iman cenderung pada aktiviti keagamaan juga. Mainan kapal terbang banyak jadi koleksi. Banyak juga dah rosak. Seronok bila saya tengok Iman kumpulkan mainan kapal terbang dan susun elok-elok atas meja.

Setakat ni Iman belum rasa macamana naik kapal terbang. Setiap kali tanya nak naik kapal terbang tak? Pasti Iman cakap nak. Insyaallah hujung bulan ni hajat Iman akan ummi tunaikan. Walaupun kita tak terbang ke Abu Dhabi ;) teruja sangat Iman bila bagitau nak naik kapal terbang. "jom ikut" :) Ikut tu maksudnya "pergi". Sebab bila saya ajak Iman keluar. Saya selalu tanya "nak ikut tak?" jadi Iman tak tahulah sebut perkataan pergi lagi.

Ini adalah video dalam YouTube yang Iman selalu nak tengok tiap-tiap hari. "The making of boeing aeroplane". Selain tu Iman juga selalu tengok DVD dokumentari mengenai kapal terbang yang AI belikan untuk Iman.




Bola pula... biarlah ianya sekadar jadi sukan yang Iman minat bila di sekolah nanti. Ramai orang kalau tengok Iman sepak bola pasti terkejut. Mereka cakap boleh jadi pemain bola sepak bila besar nanti. Ummi senyum je. Tak mahulah ianya jadi kerjaya. Cukuplah sekadar hobi. Tak tahulah kenapa Iman suka sangat dengan bola. Mana-mana pergi kalau nampak bola mesti Iman nak beli. Sedangkan di rumah banyak dah bola. Sampai ummi sorok tinggalkan 2 biji je sebab tak larat nak kemas :). Bagi orang pun ada.

Ahad, 9 Disember 2012

From Abu Dhabi with love ;)

Assalamualaikum

Lama rasanya menyepi.. tak berkesempatan nak online. Alasan sama macam sebelum-sebelum ni, siapa yang biasa singgah pasti faham ;) Hari ni sudah 22 hari kami di rumah tanpa AI. Bila berjauhan Email dan telefon sebagai penghubung. Iman masih lagi mood 'mogok' tak mahu bercakap. Tengok gambar ayah pun nak marah. Tak puashati kena tinggal ;)

Ada masa bila Iman buka iPad dia akan tengok juga... muka sedih je.. ada sekali tu siap cium gambar ayah. Tapi tak lama... rindu dipendam dalam hati ;) suka je ummi dia nak menyakatkan. Bukan Iman je sedih AI pun sedih juga rindu pada Iman.

Ini antara gambar-gambar yang AI hantar melalui Email. Kita tengok je lah ya... Insyaallah ada rezeki kita pula bergambar di sana ;)

Harap tuan dalam gambar tak marah ;)

Kawasan penginapan AI. Nama hotel dirahsiakan buat sementara atas sebab-sebab keselamatan ;)

Bangunan depan office AI

Waktu malam di Abu Dhabi

Gambar ni dan seterusnya trip AI ke tempat yang bernama Al-Ain dan sempadan Oman.