بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Khamis, 20 September 2012

Doa mohon sembuh dari penyakit

Assalamualaikum

Apa khabar rakan-rakan semua? Semoga semuanya sentiasa di rahmati dan diberkati Allah. Amin. Tiada apa yang nak diceritakan. Alhamdulillah, jalani kehidupan seperti biasa. Cuma ingin berkongsi doa di bawah ini.


Ya Allah, anugerahkanlah ke atas kami wahai Tuhan kami penawar kepada penawarMu, dan kesembuhan daripada kesembuhanMu, juga keberkatan daripada keberkatanMu, juga rahmat daripada rahmatMu terhadap penderitaan-penderitaan yang dideritai oleh orang yang sakit juga mereka yang lemah, dan sembuhkanlah, sembuhkanlah, sembuhkanlah dengan rahmatMu, ya arhamar rahimin.

Semoga bermanfaat buat semua.

Terima kasih.

Ahad, 16 September 2012

Alhamdulillah

Assalamualaikum

Malam ni berpeluang online, sambil Iman tidur di sisi. Petang tadi kami pergi Ulu Yam River n Terrace kepunyaan rakan AI. Menarik tempatnya. Sudah 2 tahun lebih tak ke sini. Banyak dah berubah. Saya belum berpeluang buat entri mengenai bisnes rakan AI ni. Boleh singgah Blog atau Facebook nya untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Tujuan ke sini saja cari ketenangan dan kedamaian air sungai dan kehijauan hutan. Imanlah yang seronok mandi manda bersama che Nayli (anak adik yang saya ajak join sekali). Datang dah lewat jadi sekejap sahaja singgah.

Kini saya baru bersedia terima kenyataan. Malu rasanya pada diri yang sukar terima hakikat apa yang berlaku. Yang penting saya belajar sesuatu dalam hidup. Apa yang penting sekarang melawan dan memperbaiki kesihatan daripada tidak baik kepada baik. Kalau boleh ke tahap excellent :) boleh ke? Ini cabaran kepada diri sendiri. Insyaallah jika betul-betul berusaha pasti boleh.

Rindu dengan rakan blog. Perlahan-lahan akan singgah... terima kasih di atas sokongan semua. Kalian memang sweet... sayang kalian.

Pinjam pesanan dari AI...

"hidup ini ada suka dan duka.... jadi kena terima kenyataan apa yang kita lalui dalam hidup"

Dua anak kecil yang suka dapat main air... Seronok tengok gelagat mereka

Rabu, 12 September 2012

Ketenangan dan kekuatan

Assalamualaikum

Semakin lama semakin kurang entri di blog ni.. tuan blog kini banyak memberi ruang masa pada dunia realiti. Tapi dalam pada itu hati ni sentiasa rindu dengan blog saya ni dan rakan blog yang lain.

Terima kasih di atas ulasan yang ditinggalkan. Kalian memang rakan yang baik kerana luangkan masa berkunjung di sini. Alhamdulillah dengan ulasan yang ditinggalkan banyak juga membantu saya menenangkan diri dari memikirkan yang bukan-bukan. Walaupun sebelum ni saya kata yang mendengar dan mengalami tidak sama, tapi saya akui kata-kata perangsang dari orang lain banyak membantu dalam memberi harapan dan semangat. Terima kasih sekali lagi.

Sekarang saya dalam proses memperbaiki kesihatan lagi. Tengah berfikir untuk membeli supplement yang boleh membantu pulihkan kesihatan dalaman secara total. Disebabkan mahal ambil masa juga untuk berfikir. Tapi wang bukan lagi ukuran bila tak sihat. Betul tak? Masa ni memang banyak juga pelaburan yang perlu dibuat demi kesihatan. Sebab tu kena beringat sebelum sakit. Dulu saya memang jenis orang yang tak kisah sangat soal makan. Bukan tak jaga cara pemakanan, tapi kurang sangat makan dan makan tak ikut masa dan jarang bersenam.

Bila tak sihat, semua yang dulu diabaikan kini dijaga. Dah terhantuk baru nak terngadah. Adakala sakit ni sebagai amaran dan peringatan. Sebelum ni kita tahu tapi tak buat. Kepada rakan yang lain jagalah kesihatan sebaik mungkin semasa kita sihat ni. Adakala kesannya bukan sekarang tapi bila kita berusia.

Hujung minggu baru ni saya ke Melaka berurut dengan Wan Induk. Ada kisah mengenainya sebelum ni. Kami bermalam di sana. Seronok pergi rumah Wan Induk. AI pun nampaknya serasi. Susah dia nak tidur rumah orang. Bangun pagi boleh tengok pokok-pokok menghijau dan kabus. Nikmatnya... terasa nak tinggal di kampung bila AI pencen nanti. Tenang dengan udara yang masih segar. Iman pun seronok dan serasi di sana.

Banyak pesanan dari Wan Induk untuk saya. Apa yang diberitahu semua saya buat. Kini saya bertungku. Baru ambil batu sungai dari rumah mak semalam. Sedap juga bila buat. Badan kita bila banyak jatuh dan tak betul urat-uratnya eloklah dibetulkan. Bila aliran darah tak sempurna tu yang timbul penyakit. Bersenam juga boleh membantu. Kini saya ambil peluang bersenam bersama Iman dalam rumah. Luar rumah nanti kena kejar dia je pula ;) dia pula yang lebih semangat. Hari-hari mesti ajak lari.

Iman sentiasa berikan saya ketenangan dan semangat...

Baru ambil gambar ni semalam masa nak keluar. Iman bergaya sendiri tanpa disuruh. Senyum je saya tengok gaya dia. Sekejap je pakai.. Nak keluar semua dia tanggalkan. Sajalah tu nak hiburkan ummi dia.

Selain itu zikir Lailahaillallah banyak membantu saya dari segi kerohanian dan memberi ketenangan dan kekuatan juga.


Jumaat, 7 September 2012

Merawat darah tinggi

Assalamualaikum

Apa khabar rakan-rakan hari ni. Semoga kalian sentiasa sihat hendaknya. Hari Selasa baru ni saya telah pergi ke Columbia Hospital yang terletak di Bukit Rimau. Pertama kali jejak kaki ke sini. Bagus hospital ni, baik dari segi layanan dan rawatan yang diberi.

Sepatutnya saya buat full blood test 17hb ni, tapi disebabkan rasa risau saya minta doktor di klinik refer saya ke hospital untuk rawatan lanjut. Saya kena jumpa doktor gyne dulu. Sebab sakit di bahagian perut dan pinggang. Jumpa doktor terus scan rahim ikut saluran rahim. Doktor kata tiada masalah, cuma ada sedikit ketumbuhan. Tak perlu tunggu terus buang di situ juga. Seterusnya saya kena tunggu ujian pap smear. Doktor yang merawat doktor cina perempuan bernama Doktor Loo. Sangat baik dan cekap doktornya.

Saya request untuk buat full blood test. Doktor terus tunaikan hajat saya. Susah hati juga kalau tak dapat nak buat. Bila buat kita lebih tahu apa masalah kesihatan kita yang sebenarnya. Bila guna kad insurans company ada sesetengah mereka tak cover. Sampai hari ni ING tak call lagi beritahu tak cover.

Hingga hari ni masih menanti keputusan darah dan urine test. Seminggu untuk dapatkan keputusan. Harap tiadalah yang lebih merbahaya.

Kini saya sedang sibuk mengawal dan menjaga pemakanan. Segala maklumat tentang darah tinggi saya baca sebagai rujukan.

AI telah belikan saya mesin Omron untuk check BP saya di rumah. 1 hari 3 hingga 4 kali juga saya check. Tekanan masih sama jika saya tak makan ubat atau kurang minum air. 2 hari sebelum ni saya tak ambil ubat. Cuma kawal sendiri. Banyak minum air kosong, minum air epal hijau, timun, peria katak dan asparagus.

Emosi saya semakin hari semakin stabil. Susah juga nak kosongkan fikiran dari tidak memikirkan masalah kesihatan. Apa pun saya sentiasa berusaha.

Rujukan saya tentang darah tinggi.

http://darahtinggi-info.blogspot.com


p.s: maaf saya tak boleh online lama-lama macam sebelum ni. Bila berpeluang saya akan update blog saya, tak sempat singgah blog rakan. Tunggu keadaan saya betul-betul stabil dahulu. Perut dan pinggang masih tak selesa. Terima kasih pada yang meninggalkan ulasan di blog ini. Saya sangat menghargainya..

Selasa, 4 September 2012

Belajar dan memahami hakikat hidup

Assalamualaikum

Pertama sekali terima kasih buat rakan-rakan yang sudi memberi dorongan dan mendoakan saya. Saya masih belajar menerima hakikat ujian kesihatan yang saya terima. Macam yang saya pernah beritahu sebelum ni... sakit itu ujian Allah dan adakala ianya berpunca dari kesilapan diri sendiri. Bagi saya apa yang saya terima adalah dari kesilapan diri sendiri.

Nipisnya Iman

Semasa mula-mula terima berita bacaan darah tinggi dan kena makan ubat darah tinggi (5mg). Dalam masa yang sama ada infection dalam rahim dan kena makan antibiotik, tiba-tiba sahaja saya fikir yang bukan-bukan. Hati tiba-tiba jadi sayu dan saya menangis. Masa ni saya cukup sedih dan tidak boleh terima kenyataan. AI banyak membantu waktu ini... dia sentiasa berusaha buat apa sahaja. Iman juga cukup memahami. Baik sangat bila berdua di rumah. Seolah faham saya kurang sihat. Melihat dia lagi sebak saya rasa.

Saya ambil masa 2 hari untuk terima kenyataan. Saya juga kena berusaha menangani masalah kesihatan saya. Alhamdulillah, kini saya semakin kuat dan berusaha dalam pelbagai bentuk perubatan.

Utamakan kesihatan

Sihat adalah kunci kebahagiaan yang sebenar. Siapa yang nak sakit kan? Jadi kita tak boleh lari dari berjaga-jaga, baik dari segi pemakanan, waktu makan, waktu tidur dan waktu bekerja. Bersenam amat penting. Inilah perkara yang sering kita abaikan. Macam saya. Adakala kita lupa sebab kita masih sihat. Cara hidup yang sihat adalah kunci kesihatan kita.

Nikmat yang ditarik

Sebagai manusia kita memang kena terima hakikat. Semakin bertambahnya umur semakin tinggi peluang kita menghidapi penyakit. Tapi kini ramai yang muda-muda tak kira kanak-kanak sudah ada penyakit yang biasa orang berumur perolehi.

Sakit ini lambat atau cepat kita boleh terima. AI kata "dengar apa yang dia nak beritahu... semakin bertambah umur sikit-sikit tuhan tarik nikmat yang DIA bagi" jadi kena bersedia terima kenyataan dan hakikat hidup.

Membaca, melihat, mendengar dengan mengalami adalah perkara yang cukup berbeza. Bila kita membaca, melihat dan mendengar perasaan kita adalah setakat simpati dan kagum dengan mereka. Berbeza dengan yang mengalami... hanya Allah yang tahu apa yang difikirkan dan setakat mana keimanan seseorang menerima ujian kesakitan tersebut.

Syukur Allah baru uji yang sedikit.. Itupun seperti dipasangkan bom jangka. Kerana hanya saya yang rasa apa yang tak kena dalam badan. Sebab itu risau saya melampau-lampau. Semoga Allah baru beri isyarat pada saya dan bagi peluang kedua untuk terus perbaiki kualiti kehidupan yang ada.

Panjang juga catatan saya... saya harap ada yang faham apa yang cuba saya sampaikan. Terima kasih pada yang sudi membaca.

Ahad, 2 September 2012

Terpaksa kurangkan masa dengan blog

Assalamualaikum

Saya terpaksa kurangkan masa dengan blog buat masa sekarang. Keadaan kesihatan tidak mengizinkan. Bermula bulan puasa baru ni bacaan darah saya tinggi, dan semalam bacaannya masih sama. 17hb saya akan buat full blood test.

Masalah saya berpunca dari angin yang terlampau banyak dalam badan. Saya juga dinasihatkan oleh pakcik yang boleh mengubat, agar tidak melihat cahaya terlalu lama.

Ada lagi sakit lain yang saya dapat disebabkan angin ini. Sekarang saya tak boleh langsung makan makanan yang masin.

Jadi lepas ni saya mungkin akan jarang singgah blog rakan. Akan cuba singgah apa yang termampu. Insyaallah.

Doakan kesihatan saya beransur pulih. Terkejut juga terima berita macam ni. Mungkin ada hikmah disebaliknya.