بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Jumaat, 20 Julai 2012

Sejarah solat tarawih

Assalamualaikum

Tertarik ingin mengetahui sejarah permulaan solat terawih yang sering kita lakukan setiap kali bulan Ramadhan. Setiap permulaan pasti ada cerita disebaliknya.


Kenapa dipanggil Terawih

Solat pada malam bulan Ramadhan itu disebut 'Tarawih' kerana solatnya panjang, raka'atnya banyak dan orang yang melakukannya beristirahat pada setiap selesai menunaikan empat raka'at sebelum menyambungnya lagi. Oleh kerana adanya rehat maka inilah disebut "Tarawih".


Ibnu Manzur dalam kitab 'Lisanul Arabi' menerangkan bahawa 'Altarawih' adalah bentuk jamak daripada 'Tarwihah' adalah isim marrah (Isim yang menunjukkan makna satu kali) daripada 'Ar-rahah'.


Jadi makna 'Tarwihah' itu adalah satu kali istirehat. Hal ini sama dengan kata 'Taslimah' (satu kali salam) yang berasal daripada perkataan 'Assalam'. Disebut 'Tarawih' kerana orang yang melakukannya mengambil beberapa kali istirehat pada setiap kali selesai mengerjakan solat empat raka'at, kemudian dia menerangkan pula bahawa 'Ar-rahah' itu ertinya lega atau segar adalah lawan daripada kata 'at-ta'ab' yang bererti penat.


Didalam sebuah hadith ada diterangkan bahawa apabila masuk waktu solat,Nabi Muhammad s.a.w.  berkata pada bilal: "Marilah kita beristirehat dengan solat.'


Maksudnya ialah, azanlah untuk solat, wahai bilal! Maka kita akan beristirehat dengan solat itu, Istirehat Nabi Muhammad s.a.w. menerusi solat kerana didalamnya sebagai munajat kepada Allah s.w.t.. Hal ini sesuai dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Hatiku dan jiwaku menjadi tenteram ketika dalam solat."


Dengan demikian solat Tarawih adalah sunnat yang dilaksanakan dalam kaitannya dengan ibadah pada malam-malam bulan Ramadhan al-Mubarak sebagaimana yang akan diterangkan menerusi hadith-hadith dalam bab seterusnya.


Bilangan rakaat Tarawih

Solat Tarawih adalah termasuk solat sunnat muakkad berdasarkan hadith-hadith yang telah disebutkan tadi. Bilangan raka'atnya berjumlah 20 raka'at tidak termasuk solat witir. Jika dimasukkan solat witir maka manjadi 23 raka'at. Demikian berdasarkan pada sunnah yang telah berlaku dan berdasarkan pada sunnah umat Islam, sama ada daripada golongan ulama Salaf maupun Khalaf sejak zaman Khalifah Umar Ibnu al- Khattab r.a. sehinggalah kezaman kita sekarang.

                       
Orang yang mula-mula bertarawih

Orang yang mula-mula mengerjakan solat Tarawih menurut Ibnu Qudamah dalam kitabnya yang lengkap "Al-Mughni" berkata: "Solat Tarawih adalah sunnat muakkad. Orang yang pertama kali mengerjakannya adalah Rasulullah s.a.w.. Hal ini berdasarkan kepada satu hadith yang  diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud:

"Rasulullah s.a.w. menyemarakkan ibadah pada malam hari bulan Ramadhan dengan tidak mewajbkan kepada umatnya. Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesiapa beribadat pada malam hari bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah (s.w.t.) dan mengarapkan pahala daripada-Nya, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."(Riwayat Imam Muslim)


Saiyidatina Aisyah r.a telah meriwayatkan sebuah hadith yang bermaksud:

"Pada suatu malam Nabi Muhammad s.a.w. solat dimasjid, maka para sahabat mengikuti solatnya. Pada malam berikutnya, Baginda s.a.w. solat lagi dimasjid dan para sahabat yang mengikutinya bertambah ramai. Lalu mereka berhimpun pada malam ketiga atau keempat, tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid untuk solat bersama mereka. Pada sebelah paginya Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku melihat apa yang kamu kerjakan dan tidak ada sesuatu apa pun yang mencegah aku untuk keluar mengerjakan solat bersama kamu semua kecuali aku khuatir kalau- kalau kamu menganggap solat itu diwajibkan atas kamu."(Riwayat Muslim)


Abu Hurairah r.a. meriwayat sebuah hadith yang bermaksud:

"Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid. Kebetulan pada malam bulan Ramadhan itu para sahabat mengerjakan solat ditepi-tepi masjid. Baginda s.a.w. bertanya: 'Siapa mereka itu?' Ada yang menjawab" 'Mereka adalah para sahabat yang tidak dapat membaca al-Quran, tetapi Ubai bin Kaab solat ditengah-tengah mereka dan mereka ikut solat bersamanya.' Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: 'Mereka telah mendapatkan pahala dan sebaik-baik amalan adalah apa yng mereka lakukan itu."    (Riwayat Abu Dawud)


Adapun panggilan solat Tarawih adalah dinisbahkan kepada Khalifah 'Umar ibnu al-Khattab r.a. kerana beliaulah yang mengumpulkan orang ramai untuk melakukan solat pada malam bulan ramadhan itu dibawah pimpinan seorang imam iaitu Ubai bin Ka'ab. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdurrahman bin Abdul-Qari, beliau berkata: 

"Saya keluar bersama Umar ibnu al-Khattab pada suatu malam bulan Ramadhan. Kebetulan pada saat itu orang ramai sedang mengerjakan solat secara berjama'ah dalam beberapa kelompok. Ada pula seorang yang bersolat secara bersendirian dan ada pula yang solat keseorangan tetapi kemudian diikuti oleh orang lain sehingga menjadi suatu kumpulan. Melihat keadaan itu Umar berkata: 'Saya berpendapat, sekiranya mereka ini dihimpunkan dibawah satu imam, nescaya ia adalah lebih baik." Kemudian Umar melaksanakan pendapatnya dan menghimpunkan orang ramai untuk mengerjakan solat dibawah seorang imam iaitu Ubai bin Ka'ab."


Seterusnya Abdurrahman bin Abdul Qari menerangkan bahawa pada malam hari yang lain, dia keluarlagi dengan Umar dan pada ketika itu umat Islam mengerjakan solat dibelakang seorang qari. Maka Umar berkata: "Sebaik-baik bid'ah adalah ini. Adapun orang yang tidur pada awal malam seraya bermaksud akan mengerjakan solat lail (Tarawih) pada malam hari, yang demikian itu adalah lebih utama daripada orang yang mengerjakannya pada awal malam. Akan tetapi umat Islam mengerjakan pada awal malam."(Dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari)


Berdasarkan pada keterangan hadith-hadith sohih diatas, maka jelaslah bahawa orang yang mula-mula mengerjakan solat Tarawih dalam kaitannya dengan ibadah pada bulan Ramadhan adalah junjungan Agung kita Nabi Muhammad s.a.w. .


Baginda Rasulullah s.a.w. mengerjakan bersama para sahabat tiga atau empat malam. Setelah itu Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar untuk mengerjakan bersama para sahabat lagi kerana Nabi Muhammad s.a.w. khuatir solat Tarawih dianggap wajib oleh umatnya. Dalam hal ini adalah sebagai rahmat dan tanda sangat sayang kepada umatnya.


Keterangan yang lebih jelas lagi disebutkan oleh al-Bukahri dan Muslim maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w.  keluar pada waktu tengah malam pada bulan Ramadhan kemudian solat dimasjid. Beberapa orang mengikuti solat Baginda Rasulullah s.a.w.. Pada sebelah paginya mereka menceritakan perkara tersebut kepada teman-teman mereka. 


Maka pada malam hari berikutnya para sahabat yang berhimpun lebih ramai lagi. Pada malam yang kedua ini Nabi Muhammad s.a.w. keluar untuk mengerjakan solat dan para sahabat pun mengikuti solatnya. Pada sebelah paginya para sahabat menyebut-nyebut perkara itu, maka pada malam ketiga orang-orang yang berhimpun dimasjid bertambah ramai lagi. Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid mengerjakan solat pada malam ketiga itu dan para sahabat mengikutinya. 


Kemudian pada malam yang keempat, masjid tidak lagi muat untuk menampung orang ramai yang datang berhimpun tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar kemasjid. Beberapa orang sahabat ada yang melaungkan azan "al-solah! al-solah!", tetapi Nabi Muhammad s.a.w. tidak keluar juga. Apabila masuk waktu subuh, barulah Nabi Muhammad s.a.w. keluar kemasjid. Setelah selesai solat Subuh, Nabi Muhammad s.a.w. menghadap para sahabat, membaca syahadat dan kemudian bersabda: 'Sesungguhnya aku bukannya tidak tahu bagaimana keadaan kamu malam tadi, akan tetapi aku khuatir kalau-kalau kamu menganggap bahawa hal ini (solat  malam Ramadhan) diwajibkan atas kamu, maka kamu tidak mampu mengerjakannya.'


Dalam riwayat yang lain disebutkan: "Sehingga Nabi Muhammad s.a.w. wafat keadaan masih tetap seperti itu."



p.s: Selamat bertarawih...

5 ulasan:

  1. Selamat Berpuasa dan CikOdah follow disini

    BalasPadam
  2. sejarah tak mungkin berubah.... biarpun air mata kan tertumpah... cewahh... nice for sharing... selamat berpose...

    BalasPadam
  3. dah nak masuk 4 ramadhan .. tp tak berkesempatan nak pg solat terawih .. teringin nak bawak amir .. tp ... eeemmmmmmm....

    BalasPadam
  4. thanks 4 sharing..menarik ni..

    BalasPadam
  5. nice sharing...wani xberkesempatan lagi nk g terawih...

    BalasPadam

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...