بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Jumaat, 29 Jun 2012

Kewajipan membayar hutang menurut Islam

Assalamualaikum

Tertarik dengan isi khutbah Jumaat sebentar tadi. Tak sempat nak dengar habis Iman dah mula merengek nak tengok cerita dia. Boleh je nak bagi DVD dia tengok kat situ tapi mesti tak boleh fokus juga. Sekarang saya dah tahu mana nak dapatkan teks khutbah Jumaat. Jadi boleh baca di situ.

Nak share apa yang menarik dan sebagai peringatan bersama buat kita yang memang tak lari dari memenuhi keinginan nafsu.

Budaya berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita. Perkara ini berpunca dari sikap kita yang suka berbelanja melebihi kemampuan kewangan semasa. Biarpun tidak mempunyai wang, namun keinginan membeli masih ingin ditunaikan. Jika dahulu hanya golongan miskin yang biasa dikaitkan dengan hutang. Namun, hari ini golongan berada dan sederhana juga terbabit dengan hutang.

Orang miskin berhutang untuk memenuhi keperluan hidup yang terdesak, sedangkan golongan kaya berhutang untuk bermewah mewahan bagi mengumpul harta seperti membuat pinjaman untuk membeli saham dan sebagainya.

Berdasarkan kepada laporan daripada Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan seramai 38,357 orang menjadi muflis akibat berhutang dengan menggunakan kad kredit.

Begitu juga dengan laporan daripada Jabatan Insolvensi baru-baru ini bahawa 25% daripada 116,379 kes yang di rekodkan semenjak tahun 2005 adalah merupakan mereka yang tidak mampu membayar hutang sewa beli kenderaan dan sebanyak 15,299 kes tidak mampu membayar pinjaman peribadi yang menjadi punca kebankrapan rakyat di negara ini.

Persoalan besar timbul mengapakah amalan ini berlaku?. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar yang mulia ini ramai daripada kalangan umat Islam pada hari ini boros di dalam berbelanja dan tidak mengamalkan gaya hidup berhemah. Ada yang bergaji kurang daripada 2,000 ringgit tetapi bebelanja melebihi kadar pendapatannya.

Mimbar ingin menjelaskan gaya hidup berhemah berkait rapat dengan sifat berjimat cermat dan tidak membazir. Islam melarang dan menegah umatnya daripada membazir kerana ianya perbuatan keji. Islam menyifatkan pembelanjaan boros dan pembaziran adalah perbuatan keji kerana ia tidak memberi faedah kepada masyarakat dan menjauhkan lagi jurang golongan kaya dan miskin.

Jika dasar berhemah ini di ambil kira, maka hak-hak serta kebajikan orang-orang fakir dan miskin dapat ditunaikan sepanjang masa. Sesungguhnya orang yang membazir adalah saudara syaitan dan syaitan amat suka kepada orang yang boros dan bebelanja mengikut kehendak nafsu.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Israk ayat 27:
Maksudnya:“ Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

Ibn Mas’ud dan Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini, bahawa pembaziran itu bermaksud perbelanjaan atau mengunakan harta benda bukan pada tempatnya yang sebenar. Begitu juga dengan pandangan Imam Syafie bahawa pembaziran itu ialah membelanjakan harta benda bukan pada jalannya.

Dalam Islam, hutang merupakan suatu amanah besar yang wajib dilunaskan, ia bagi memenuhi tuntutan dan menjamin hak sesama manusia. Kegagalan menyempurnakan hutang bermakna menafikan hak sesama manusia yang pastinya mengundang kemurkaan Allah SWT.

Berdasarkan kepada maksud ayat 23 hingga 39 surah Al-Isra', jika seseorang tidak membayar hutang, tiba-tiba ia meninggal dunia maka langit dan bumi tidak akan menerima rohnya walaupun roh itu milik seorang yang berjihad.

Dalam sirah Rasulullah SAW pernah Baginda duduk semasa jenazah diletakkan dihadapan Baginda untuk disembahyangkan. Baginda SAW mengangkat kepalanya ke langit, kemudian menundukkan pandangannya dan meletakkan tangannya di atas kening dan bersabda: “Subhanallah... subhanallah, betapa beratnya yang diturunkan.”

Seorang sahabat Ibn Jahsh berkata, “Kami memperhatikan keadaan Rasulullah itu tetapi kami diam, sehinggalah keesokan harinya saya bertanya kepada Baginda, “Apakah keberatan yang diturunkan itu?”Rasulullah lalu menjawab, “Hutang! Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, jikalau seseorang terbunuh di jalan Allah, kemudian hidup, kemudian terbunuh, kemudian hidup, kemudian terbunuh, sedangkan ia mempunyai hutang, maka dia tidak akan masuk syurga sehingga dia menunaikan hutangnya.”(RiwayatAn-Nasai).

Sabda Rasulullah SAW:
Bermaksud: “Kurangkanlah dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkanlah dirimu daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas”.(Riwayat al-Baihaqi)

Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan. Apa yang jelas, pengurusan wang secara bijak memberi kesinambungan hidup kita bagi tujuan hayatan tayyibah (kehidupan yang baik) serta bebas dari cengkaman hutang.

Langkah mengurus kewangan secara berkesan dapat membimbing kita ke arah matlamat yang diidamkan dan membuktikan penghargaan kita terhadap sumber kewangan yang sedia ada selain menjamin keselamatan diri daripada kefakiran dan kekufuran.

Mimbar ingin menegaskan bahawa agama Islam telah menetapkan beberapa peringkat keperluan bagi umatnya:

Pertama: al-Dharuriat iaitu keperluan yang mendesak
Kedua: al-Hajiaat iaitu keperluan yang dihajati
Ketiga: al-Thasiniat iaitu keperluan yang lebih baik
Keempat: al-Kamaliat iaitu keperluan yang lebih lengkap.

Namun begitu, dalam mengurus kehidupan kita, Islam mewajibkan kita mengatur perbelanjaan kepada perkara-perkara asas dan keperluan yang benar-benar mendesak iaitu al-Dharuriat seperti makanan dan minuman, tempat tinggal, pakaian dan pelajaran.

Menurut Iman as-Syatibi bahawa: al-Dharuriat adalah sesuatu yang harus dilakukan agar mendapat kemaslahatan di dunia dan akhirat, jika al-Dharuriat ini tidak dilaksanakan maka kemaslahatan itupun tidak akan ada tetapi yang akan timbul adalah kerosakan, kesengsaraan dan kerugian yang besar.

Dalam hal ini juga Prof. Dr. Yusuf Qardhawi ada mengatakan bahawa: sebahagian umat Islam kini kerap mendahulukan perkara yang kurang penting berbanding perkara yang penting. Perkara penting adalah urusan-urusan wajib yang termaktub dalam syariat Islam. Antara perkara tersebut ada yang besar, penting dan utama dan ada pula yang kecil, ringan, kurang penting dan kurang utama iaitu asasi, cabang (furu’), dan rukun.

Sikap suka berhutang memberi petunjuk bahawa masih ada segelintir yang gagal mengawal keinginan nafsu dalam urusan kewangan. Allah SWT pernah mengingatkan kita tentang kitaran hidup, ada masa kita senang dan ada masanya kita susah. Apabila kita dalam keadaan senang, kita diminta berjimat cermat dan mengingati keadaan golongan yang kurang dari kita.

Sebagai umat Islam kita dituntut agar mesyukuri segala pemberian dari Allah SWT. Kita hendaklah mengurus segala perbelanjaan untuk keperluan hidup dengan sebaik-baiknya setiap masa. Sekiranya kita mengabaikan perkara tersebut dikhuatiri kesan daripada kelalaian kita menguruskan perbelanjaan hidup boleh menyebabkan kita meninggalkan generasi yang mundur di kemudian hari serta menyebabkan negara kita berada dalam mundur dan terkebelakang.

Sedarkah kita, kemewahan yang kita kecapi ini adalah juga menjadi hak orang lain dan negara. Sekiranya kita membayar hutang sebagainya, sudah pasti hasil pungutan itu dapat digunakan untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pakaian dan rumah golongan fakir dan miskin, pembiayaan jentera pentadbiran negara, menyedia dan melengkapkan infrastruktur kemudahan awam seperti jalan raya, hospital, masjid, sekolah dan seumpamanya. Memulih sesuatu situasi selepas rakyat ditimpa bencana seperti banjir, ribut taufan, gempa bumi, dan tanah runtuh dan juga sebagai keperluan Jihad Fi Sabilillah.

Menurut Imam Muslim Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Sesiapa yang mempunyai lebihan kenderaan, maka hendaklah ia memberi kepada orang yang tiada kenderaan. Sesiapa yang mempunyai lebihan dari bekalan makanan, maka hendaklah ia memberi kepada orang yang tiada bekalan”.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sebagai manusia yang beriman dan berintegriti marilah sama-sama kita mengamalkan sikap berjimat cermat serta menjauhi sifat suka berhutang agar mendapat keberkatan dari Allah SWT.

Malahan dengan mengamalkan sikap berjimat cermat ia akan menjadikan kehidupan masa hadapan lebih terjamin. Kita juga akan terselamat dari muflis akibah hutang dan berbelanja berlebihan menurut hawa nafsu serta kita juga akan mempunyai simpanan yang dapat menjamin hidup kita disaat menghadapi kesusahan.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Furqaan ayat 67:

Maksudnya: “Dan mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan perbelanjaan mereka adalah betul sederhana ”.

Sumber: http://www.islam.gov.my/sites/default/files/khutbahjakim/upload/rumi/doc/kewajipan_membayar_hutang_menurut_islam_rumi.doc

6 ulasan:

  1. betul tu, tgk bila berlaku kematian.. kisah hutang piutang simati akan disebut ..

    BalasPadam
  2. hutang wajib dibayar..walaupun si penghutang meninggal dunia..

    BalasPadam
  3. hutang tu wajib dibayar walaupon tak dituntut :)

    BalasPadam
  4. hutang sangat2 wajib dibayar walaupun sudah meninggal dunia

    BalasPadam
  5. Hutang dibawa sampai mati sebab tu wajib dibayar..

    BalasPadam
  6. hutang tetap hutang.. ttp kne byr...

    BalasPadam

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...