بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Selasa, 1 November 2011

Sifat riak yang terkutuk


Sifat riak yang terkutuk ini adalah termasuk salah satu penyakit hati yang boleh menyebabkan kebinasaan, kerana ia menyebabkan semua amalan tertolak dan tidak diterima di sisi Allah Ta'ala, meskipun pada zahirnya nampak bagus dan sempurna. Allah Ta'ala menjelaskan tentang keadaan orang-orang munafik, mafhumnya:

Maksudnya: ".. Mereka bermaksud riak (dengan solat) di hadapan manusia, dan tidaklah mereka mengingati Allah kecuali sedikit sekali."  (Surah al-Nisa' : 142)

Maksudnya: "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya, orang-orang yang berbuat riak dan enggan memberikan pertolongan dengan barang yang berguna."
(Surah al-Ma'un : 4-7)

Al-Qur'anul Karim menggambarkan bahawa harta yang dibelanjakan kerana mengharapkan sanjungan dan pujian daripada manusia adalah sia-sia belaka dan tiada berarti di sisi Allah Ta'ala.

Firman-Nya, bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan pahala sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan orang yang menerima), seperti orang yang menafkahkan hartanya kerana riak kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari kemudian. Maka perumpamaan (amalan) orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadilah ia bersih (tidak bertanah)."  (Surah al-Baqarah : 264)

Hadis-hadis Baginda Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa penyakit riak adalah termasuk ke dalam jenis penyakit syirik, hal itu kerana orang yang riak dalam melakukan apa-apa amalan bukan kerana mengharap keredhaan Allah, namun yang menjadi tumpuannya adalah pujian dan sanjungan manusia. Di dalam sebuah hadis al-Qudsi, Allah berfirman, mafhumnya:

Maksudnya: "Aku adalah Zat yang Maha Kaya dari semua jenis persekutuan, maka barangsiapa melakukan amalan dengan mempersekutukan Aku padanya dengan yang lain, maka akan Aku biarkan dia dan sekutunya."

Dalam satu riwayat Aku berlepas diri daripadanya, dan amalan itu untuk sekutunya.

Di antara hadis-hadis yang termasyhur dalam masalah ini ialah hadis yang telah diriwayatkan dari Abu Hurairah (r.a.) mengenai tiga golongan manusia yang nanti akan dihumbankan ke dalam api neraka lantaran penyakit riak yang ada di dalam hati mereka.

Pertama: orang yang pergi ke medan perang, sehinggalah mati terbunuh.
Kedua: orang yang pergi menuntut ilmu sehingga pandai dan mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain dan
Ketiga: orang yang banyak memberikan derma serta sumbangan harta benda untuk jalan-jalan kebaikan. Namun kesemua mereka itu beramal bukan kerana ikhlas dan mengharapkan sesuatu yang lain, iaitu pujian dan sanjungan daripada manusia.

Sesungguhnya, perbuatan menipu terhadap sesama manusia adalah termasuk ke dalam perbuatan yang sangat keji dan mungkar, apatah lagi apabila ada seorang hamba yang cuba untuk menipu Allah Ta'ala di dalam amal perbuatannya. Oleh yang demikian, mereka beramal kerana riak, akan menghadapi penyesalan yang tiada berakhir di hari kiamat nanti, kerana seluruh rahsia sulit mereka diketahui oleh Allah Ta'ala yang Maha Mengetahui semua perkara yang tersimpan dan tersembunyi di langit dan di bumi. Kita berlindung kepada Allah Ta'ala dari penyakit riak yang mematikan ini.

Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi
Buku: Fiqh Keutamaan
Penterjemah: Ahmad Nuryadi Asmawi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...