بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Khamis, 10 November 2011

Panduan dan Tip membantu anak bercakap

Tips anak boleh cakap

Seorang Pakar Perkembangan dan Pendidikan Kanak-Kanak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mastura Badzis, berkata keupayaan seseorang kanak-kanak itu boleh bercakap adalah berbeza antara seorang dengan yang lain dan berkait rapat dengan faktor persekitaran dan kesihatan mereka.

Katanya, ada sesetengah kes anak lambat bercakap kerana faktor keturunan yang mana ayah atau ibunya ketika kecil pun lambat bercakap juga.

Anak Menumpu kepada aktiviti lain dahulu

“Mungkin juga kanak-kanak berkenaan sedang memberi tumpuan untuk menguasai sesuatu kemahiran baru. Contohnya belajar berjalan. Itulah sebabnya kadang-kadang kita lihat ada kanak-kanak yang bila sudah boleh merangkak dan berjalan barulah mereka mula bercakap.

Ibu bapa tak memberi tumpuan ajar anak bercakap

“Ada juga kanak-kanak tidak mendapat perhatian secukupnya daripada ibu bapa atau penjaga. Ada ibu bapa yang terlalu sibuk hingga kurang memberi perhatian untuk bercakap dengan anak kerana jarak umur antara seorang anak dengan lain agak rapat, adik beradik kembar atau keluarga besar. Ahli keluarga dewasa mungkin lebih bercakap sesama sendiri,” katanya

Ibubapa tak sokong atau mengalak anak bercakap

Dr Mastura berkata, kurang galakan dan sokongan ibu bapa juga boleh menyebabkan kanak-kanak lambat bercakap, begitu juga jika mereka kurang didedahkan bercakap dengan orang dewasa.

Faktor kesihatan anak-anak yang kurang baik

Daripada aspek kesihatan, anak yang kurang atau lambat bercakap mungkin menghadapi masalah ‘ear infection’ atau disahkan mempunyai masalah pendengaran.

“Kanak-kanak yang mempunyai masalah ‘oral-motor’ juga menghadapi kesukaran menggunakan lidah, bibir dan dagu untuk mengeluarkan perkataan. Namun, biasanya kes seperti ini ada kaitan dengan masalah makan (masalah ini hanya boleh dikenal pasti pakar)

“Kanak-kanak berkeperluan khas dan mereka yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi seperti tidak cukup zat makanan, tekanan emosi, penderaan dan sebagainya juga menyebabkan mereka lambat bercakap. Selain itu kanak-kanak yang selalu bermain sendiri dan kurang terdedah kepada hubungan sosial juga menghadapi masalah sama. Begitu juga jika ibu bapa menggunakan bahasa ‘rojak’,” katanya.

Bahasa atau percakapan biasanya akan tercetus apabila ada ruang untuk berinteraksi antara seorang dengan yang lain dalam konteks sosial. Ia juga ada kaitannya dengan keupayaan seseorang kanak-kanak itu berfikir dan menguasai perbendaharaan kata.

Bila anak mula boleh bercakap? Persoalan mengenai satu yang subjektif kerana keupayaan berkenaan berkait rapat dengan empat peringkat perkembangan bahasa kanak-kanak.
  1. Peringkat pertama bermula dengan kemahiran fonologi iaitu seseorang kanak-kanak belajar mengeluarkan bunyi dan memahami bunyi-bunyi bahasa pertuturan.
  2. Kedua ialah kemahiran semantik iaitu keupayaan kanak-kanak memahami perkataan dan menguasai perbendaharaan kata.
  3. Ketiga keupayaan kanak-kanak belajar cara mencantum dan menyusun perkataan menjadi ayat yang betul dari segi tatabahasa.
  4. Keempat adalah yang paling kompleks iaitu perkembangan pragmatik yang membabitkan peraturan menggunakan bahasa dalam konteks sosial yang berbeza atau tujuan yang pelbagai.
“Galakan dan sokongan memainkan peranan penting merangsang keupayaan kanak-kanak untuk bercakap. Menurut kajian, satu daripada sepuluh kanak-kanak menghadapi masalah lambat bercakap dan ada fakta mengatakan biasanya kanak-kanak lelaki, tiga atau empat kali lebih terdedah kepada masalah ini berbanding dengan kanak-kanak perempuan,” Dr Mastura Badzis

Panduan dan Tip mungkin boleh di amalkan bagi membantu anak-anak anda mudah bercakap
  1. Doa pada Allah selepas Sembahyang, agar anak-anak anda mudah bercakap dan jadi anak soleh dan solehah.
  2. Ibu bapa perlu selalu bercakap dan berinteraksi dengan anak-anak dari usia mereka masih bayi atau ketika mereka masih belum lagi pandai bercakap!
  3. Apabila bercakap dengan mereka, gunakan ayat yang pendek dan mudah mereka faham. Apabila anda mahu menerangkan sesuatu kepada anak-anak, pastikan ada ruang (pause) antara satu ayat dengan yang lain supaya anak anda mendapat peluang untuk memberi maklum atau tindak balas
  4. Gunakan mimik muka yang bersesuaian untuk menyampaikan sesuatu maksud perkataan atau ayat
  5. Selalu membacakan buku untuk anak dan meluangkan masa bercerita kepada anak
  6. Dedahkan anak kepada interaksi sosial kerana dengan cara ini ibu bapa memberi peluang kepada anak mendengar perbualan di samping berjumpa dengan orang yang baru dikenali
  7. Banyak aktiviti seharian dapat digunakan untuk membantu anak bercakap dan mengembangkan keupayaannya menggunakan bahasa antaranya mengemukakan soalan, mengemukakan arahan, mempelajari perkataan-perkataan baru dan bercakap-cakap dengannya
  8. Ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik dan berusaha memberi perhatian serta mendengar dan cuba memahami apa yang disampaikan si anak. Jika apa yang diucapkannya tidak jelas bantu mereka dengan menyebut beberapa perkataan yang anda rasa mungkin itulah yang cuba disebut anak
  9. Menyanyi bersama-sama anak atau bercerita kepadanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...