بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Rabu, 9 November 2011

Didik minat anak sejak kecil dengan pendidikan al-Quran


Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 14, 2011


Soal minat dalam melakukan sesuatu perkara, sememangnya tidak dinafikan kepentingannya. Tetapi dalam mempelajari ilmu al-Quran, tidak seharusnya kita meletakkan pilihan sama ada minat atau tidak, kerana ilmu al-Quran adalah ilmu yang wajib kita pelajari. Pendidikan al-Quran bersifat syumul (menyeluruh), merangkumi pendidikan yang diperlukan rohani dan jasmani.

Pendidikan yang sesuai dengan fitrah manusia, namun pendidikan al-Quran bagi dunia hari ini tidak dipandang sebagai suatu keutamaan, malah hanya sebagai sampingan. Hal ini berlaku kerana kebanyakan daripada masyarakat kita hanya melihat atau tertumpu matlamatnya terhadap apa yang zahir daripada dunia. Justeru, ALLAH telah mengutuk golongan ini dalam sebuah hadis:

“Sesungguhnya ALLAH TAALA sangat memurkai mereka yang hanya mengetahui hal-hal keduniaan, jahil mengenai hal-hal akhirat”. (HR. al-Hakim, Tahqiq al-Albaniy: Hadis Sahih)


Didik minat anak sejak kecil

Mudir Pusat Pengajian Al-Quran Al-Itqaan, Dr (H) Sahril Sartu berkata, memandangkan biah (suasana) kehidupan manusia yang telah mencapai tahap dunia tanpa sempadan, pelbagai teknologi canggih diperkenalkan yang majoritinya bukan bermatlamat menuju akhirat.

“Sementara anak-anak hidup dikelilinginya. Apakah kita melihat peratus yang tinggi untuk anak-anak hari ini memiliki minat dan kecenderungan untuk menghafaz dan mempelajari al-Quran? Jika orang dewasa mungkin kurang soal masalah pemupukan minat. Tetapi kanak-kanak atau remaja, minat atau kecenderungannya akan lebih bergantung pada apa yang ada di sekelilingnya.

“Justeru, bagi umur di peringkat awal (anak-anak), tidak perlu kita tunggu mereka minat baru memulakan pendidikan tersebut ke atasnya. Sebaliknya, ia menjadi tugas ibu bapa untuk memupuk minat itu dalam diri anak-anak.

"Bagaimana? Mulakan didikan itu semenjak umur kecil lagi, kerana ketika itu kanak-kanak masih bersih, suci dari sebarang pengaruh,” katanya kepada Sinar Harian.


Mesti baik dengan ALLAH

Jalan terbaik untuk menjadi hafiz dan hafizah cemerlang adalah dengan seseorang itu mesti baik dengan ALLAH. Kerana hanya ALLAH yang mengetahui cara bagaimana dan sesuai dengan diri seseorang itu untuk dia amalkan dalam usaha menjadi hafiz dan hafizah terbaik.

“Caranya untuk baik dengan ALLAH ialah dengan mengenal pasti apa yang disukai ALLAH, maka lakukanlah. Dan yang dibenci-Nya, maka tinggalkanlah. Kerana dengan jalan itu kita dapat meraih cinta ALLAH, dan orang-orang yang dicintai ALLAH akan sentiasa mendapat petunjuk-Nya dalam setiap perkara,” katanya.

Tambah menyedihkan katanya pada fenomena kini, kebanyakan ibu bapa memandang ringan pendidikan agama dan sangat bimbang jika anak mereka tidak mahir ilmu keduniaan berbanding ilmu agama yang akan memandu mereka membina kehidupan diredhai ALLAH. Seolah-olah kita terlupa akan keutamaan serta tujuan asal dihidupkan di dunia ini.

“Penumpuan dan keutamaan adalah kepada kemahiran ilmu-ilmu keduniaan seperti bahasa Inggeris, komputer, sains dan sebagainya, tetapi ilmu al-Quran mereka tinggalkan hatta kadang-kadang membaca al-Quran tidak tahu atau 'merangkak-rangkak'.

“Mana mungkin kita ingin menjadi manusia yang terbaik kalau kita tiada komitmen dengan al-Quran. Tiada inisiatif untuk memahirkan diri dengan al-Quran. ALLAH meletakkan belajar al-Quran sebagai fardu ain yakni first priority kerana ia mengandungi ilmu pengurusan kehidupan, ilmu membina sikap yang betul, ilmu yang hendak membentuk manusia menjadi orang yang baik,” kata Shahril.


Hala tuju sebenar manusia

Beliau yang juga bekas Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Selangor (PITAS) berkata, Ibu bapa bertanggungjawab mencorakkan perkembangan awal dan menentukan hala tuju anak-anak mereka.

“Akan tetapi kerakusan manusia dan kecintaannya terhadap kehidupan dunia menyebabkan mereka terlupa dan tidak sedar akan adanya kehidupan setelah mati, ini menyebabkan mereka lupa hala tuju sebenar kehidupan manusia, kerana cepat atau lambat manusia tetap akan menemui ajalnya.

"Jika ibu bapa ingin anak mereka mempunyai masa depan yang cerah, fikir kembali adakah telah memberikan didikan untuk anak-anak mereka membekali diri bagi mendapat kehidupan yang cerah (syurga)," katanya.

Beliau berkata, dapatkah anak-anak mereka menyelamatkan diri daripada kehidupan yang sengsara (neraka). Kedua-dua tempat itu pasti ditempuhi mereka. Persoalan bidang yang boleh diceburi huffaz al-Quran itu tentu banyak sekali kerana ALLAH menyebut ilmu al-Quran (ilmu yang ALLAH turunkan untuk hamba-Nya) itu sangat luas.

“Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)” (Al-Kahf:109).

“Justeru, bergantung diri individu itu sendiri untuk menerokai ilmu-ilmu ALLAH yang luas itu. Tidak dinafikan peluang pekerjaan atau kemasukan ke mana-mana institut pengajian tinggi kebanyakannya tidak memerlukan lulusan tahfiz al-Quran atau huffaz al-Quran.

“Akan tetapi apakah rezeki manusia itu terletak pada sesebuah tempat dan pusat pengajian, ini adalah pemikiran yang boleh menjerumuskan kepada syirik kerana meletakkan pergantungan kepada makhluk untuk mendapatkan sesuatu keperluan,” katanya.

2 ulasan:

  1. stress study ni.. so buat lah blog walking..
    harap anda tidak kesah saya jenguk2 ni...
    singgah usha entry usha iklan. sama2 tmbh tabung blog.
    salam singgah.

    BalasPadam
  2. t.kasih kerana sudi singgah. Hrp dpt hilangkan stress tu ;) study smart n good luck!

    BalasPadam

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...