بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Ahad, 30 Oktober 2011

Tunai Haji jangan sampai rampas hak orang lain



Diceritakan seorang sufi, Ibrahim bin Adham bermimpi, ada dua malaikat turun ke bumi dan berbincang. "Tahun ini ada berapa jemaah yang ibadat hajinya diterima Allah SWT?" Tanya salah satu malaikat pada malaikat yang lain. Malaikat yang lain menjawab, "Daripada ribuan jemaah, tidak satu pun diterima kecuali seorang dari Damascus (Syria) bernama Muwaffaq".

Setelah terbangun daripada tidur, Ibrahim Adham berhajat mencari kebenaran mimpinya tadi. Beliau pergi ke Damsyik dan berusaha mencari orang yang bernama Muwaffaq. Setelah sampai ke tempat yang dituju, dia akhirnya bertemu dengan lelaki yang dicari. Beliau bertanyakan soalan itu dan Muwaffaq menjawab, "Sudah lama aku ingin haji tetapi wang selalu tidak mencukupi. Suatu hari aku mendapat untung yang besar dan bercadang menunaikan ibadat haji. Ketika ingin berangkat, aku dapat tahu anak yatim di sekitar rumahku kelaparan. Mereka sudah tiga hari makan bangkai keldai. Akhirnya aku membatalkan hasrat pergi haji dan wang perbelanjaan haji aku dermakan kepada anak yatim itu". Barulah Ibrahim Adham faham kehebatan Muwaffaq.

Berbalik kes jemaah haji sekarang. Apakah jemaah kita mengambil tahu nasib jiran mereka terutamanya jika ada yatim atau orang tua yang kelaparan sebelum mereka ke Makkah? Tepuk dada tanya hati. Bagaimana pula dengan mereka yang sanggup mengeluarkan wang puluhan ribu ringgit untuk menunaikan ibadat haji kali kedua, ketiga dan seterusnya? Lebih parah lagi disebabkan mereka, ramai orang yang kali pertama ingin menunaikan haji tidak dapat berbuat demikian.

Kadar tabung berbeza

Walaupun tahun ini Tabung Haji mengenakan kadar tambang yang berbeza untuk jemaah kali pertama dengan jemaah kali kedua dan seterusnya tetapi persoalannya mereka mengambil hak peruntukan kuota 28,000 jemaah yang diberikan pihak berkuasa Arab Saudi kepada Kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun kerana soal pahala dan dosa bukan urusan manusia, jadi ada saja alasan yang digunakan untuk mereka yang ingin menunaikan ibadat haji berulang kali. Ramai ulama mengkritik mereka yang terlalu berbangga dengan haji kedua, ketiga dan seterusnya bahkan Imam al-Ghazali menyatakan haji yang mereka tunaikan sebagai 'haji ghurur'.

Dalam Islam, seseorang boleh mengulangi atau melakukan ibadat haji lebih daripada sekali tetapi ada syaratnya. Pertama, tidak dipenuhi salah satu syarat dan Rukun Haji ketika mengerjakan dahulu dan kedua, menunaikan haji untuk orang lain, sebagai amanat yang harus ditunaikan.

Kini sudah tiba masanya Tabung Haji mengkaji balik syarat yang diberikan kepada jemaah kali kedua, ketiga dan seterusnya. Jika sekarang perbezaan tambang sekitar RM4,000 ia perlu dinaikkan kepada RM8,000 hingga RM10,000.

Pada tahun ini, kira-kira 28,000 umat Islam menunaikan fardhu haji tahun ini. Alangkah bahagianya mereka yang dipilih menjadi tetamu Allah. Ada orang yang terpaksa menyimpan wang puluhan tahun untuk menunaikan ibadat haji dan ada orang yang mendapat wang cepat dan menunaikan ibadat haji. Wang cepat mungkin, misalnya melalui pampasan pengambilan balik tanah atau mendapat 'durian runtuh' atau sesuatu projek yang menguntungkan.

Mail Brahim dari Sarawak seperti yang dilaporkan media tentunya boleh dijadikan contoh. Dia mula menyimpan sejak tahun 1950. Apabila beliau menerima gaji RM40 sebulan sebagai kelasi kapal, sebanyak 30 sen dimasukkan dalam tabung. Berkat simpanan sedikit demi sedikit dan mempunyai niat yang betul, Mail antara jemaah yang dipilih Allah menjadi tetamu-Nya tahun ini.

Ada orang kaya tetapi kerana namanya tidak termasuk dalam senarai tetamu allah, dia tidak tergerak hati untuk ke Makkah. Walaupun bunyi pergi ke Makkah kelihatan senang tetapi jika nama seseorang tidak tersenarai, ada saja alasannya. Lain dengan kes Mail Brahim tadi, kerana beliau dan ramai lagi terpaksa beratur panjang untuk dipilih oleh Tabung Haji ke Makkah.

Sebenarnya ibadat haji sering kali mendapat jolokan sebagi 'perjalanan seumur hidup'. Mereka yang mempunyai kemampuan dari segi tenaga dan kewangan dituntut sekali seumur hidup untuk ke Tanah Suci. Surah Al-Imran ayat ke-97 menyebut; "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya." Perjalanan seumur hidup menggambarkan terlalu sukarnya untuk ke Makkah suatu ketika dulu.

Harus diingat datuk dan nenek kita menempuh jalan sukar ketika mereka menggunakan kapal laut untuk ke Makkah yang mengambil masa enam bulan. Lebih menyulitkan lagi, mereka terpaksa membawa tilam, periuk belanga, barang makanan dan sebagainya. Belum lagi diceritakan duduk dalam keadaan berhimpit dalam kapal dan kadang kala kapal menghadapi masalah di lautan.

Lebih separuh daripada 28,000 jemaah haji akan berada di Madinah terlebih dahulu sebelum ke Makkah. Jadi persiapan sudah dilakukan untuk menyambut jemaah. Dianggarkan 800 orang diambil bertugas untuk melicinkan perjalanan jemaah untuk mengerjakan umrah dan haji. Untuk Madinah sahaja lebih 200 petugas Tabung Haji yang terdiri daripada petugas dari Malaysia dan penduduk tempatan.

Pegawai Operasi Haji di Madinah, Shahrunnajmi Basharuddin dilaporkan berkata, bagi melicinkan  urusan membantu jemaah, bakal haji dibantu oleh sukarelawan daripada kalangan 65 penuntut Malaysia yang sedang belajar di Madinah. Pusat penginapan dan rawatan dipantau. Pemantauan juga dilakukan di kota Makkah.

Kita tetap mendoakan jemaah selamat pergi dan selamat pulang. Ambillah peluang beribadat sebanyak mungkin terutama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Kita perlu menganggap pemergian ini yang terakhir supaya kita lebih serius dalam beribadat.

oleh Jamudin Idris (majalah Milenia Muslim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...