بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Sabtu, 22 Oktober 2011

Perompak minta mangsa sumpah



BEDONG - Macam-macam gila rupanya dalam dunia ini. Tiga perompak bertindak pelik apabila menyuruh mangsa mereka bersumpah menggunakan al-Quran selepas merompak.

Ini berlaku ke atas sebuah keluarga di Kampung Jilid 9, Kuala Segantang Garam, dekat sini, 5 Oktober lalu apabila salah seorang ahli keluarga mangsa disuruh memegang al-Quran dan bersumpah telah menyerahkan semua wang dan barang bernilai kepada mereka.

Mangsa, Sofiah Omar, 58, berkata, kejadian rompakan di rumahnya berlaku sekitar jam 1 pagi apabila dia yang sedang tidur di dalam bilik utama mendengar bunyi hentakan kuat di dapur.

“Makcik terkejut dengan bunyi itu dan segera mengejutkan suami. Tidak sempat keluar dari bilik, makcik terdengar pula suara ayah makcik yang tidur di luar bilik menjerit.

“Makcik sangkakan ayah makcik mengigau dan sejurus keluar dari pintu bilik, seorang lelaki memakai topeng muka sudah berdiri di hadapan makcik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya.

Sofiah berkata, dia dan suaminya, Mohamad Md Rejab, 69, kemudian diarahkan keluar dari bilik dan berkumpul di satu bahagian rumah bersama ibu bapanya.

Menurutnya, bapanya yang sudah berusia 78 tahun diikat di kedua belah tangan oleh perompak terbabit, manakala mulut ibunya pula diikat dengan kain.

“Mereka kemudian menggeledah rumah dan bertanya kepada makcik di mana makcik simpan duit dan barang kemas.

“Salah seorang dari mereka pula mengambil gelang dan rantai emas yang makcik pakai,” katanya.

Keseluruhannya, mereka merompak seutas rantai emas dan tujuh gelang emas, di samping wang lebih kurang RM7,000.

Sofiah berkata, apa yang menghairankan, perompak itu ada kalanya bersikap mesra dan baik, seperti membawa bapanya ke bilik air untuk buang air.

Perompak itu juga ‘baik hati’ dengan mengambil segelas air untuk Sofiah apabila dia mengadu haus.

“Lebih setengah jam selepas menggeledah rumah kami, salah seorang daripada perompak itu mengambil al-Quran dan menyuruh makcik memegang al-Quran tersebut dan bersumpah bahawa semua barang-barang berharga yang ada sudah diserahkan kepada mereka.

“Mereka kemudiannya mengambil sarung kaki makcik dan memakainya di tangan lalu bersalaman dengan kami semua sambil meminta ampun dan maaf kerana merompak kami,” kata Sofiah, yang masih trauma dengan kejadian itu.

sumber: sinarharian.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...