بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Jumaat, 28 Oktober 2011

8 Tip menghadapai peperiksaan



Demam peperiksaan sudah bermula. Anak-anak yang mengambil peperiksaan sedang bergelumang dengan pelbagai persediaan. Dalam hal ini bukan sahaja calon peperiksaan yang berdebar-debar, ibu bapa juga turut tidak senang duduk.

Trend kesedaran ibu bapa kini sangat berbeza jika kita bandingkan zaman 70-an dahulu di mana ada ibu bapa mungkin tidak mengambil kisah hal pembelajaran anak mereka. Ini kerana mereka sibuk mencari rezeki.

Pada hari ini, suasana sudah berubah malah sebilangan ibu bapa terlebih risau berbanding calon peperiksaan sendiri. Almaklumlah ibu bapa telah banyak berkorban sama ada dari segi masa, tenaga atau wang ringgit demi melihat anak mereka cemerlang.

Satu lagi trend ialah wujud persaingan antara ibu bapa sendiri dari segi tahap kejayaan anak-anak. Persoalan berapa A atau straight A adalah antara topik hangat ibu bapa dalam pertemuan sosial mereka.

Ramai ibu bapa akan berasa sangat malu jika anak mereka mencapai keputusan kurang memberangsangkan berbanding anak orang lain. Walaupun keadaan ini sebenarnya kurang sihat, namun peperiksaan utama merupakan pengukur kejayaan anak-anak terhadap apa yang telah mereka usahakan selama ini.

Berikut adalah beberapa tips ringkas yang boleh digunakan ibu bapa untuk membantu anak-anak pada saat sebelum peperiksaan dan sepanjang menghadapi peperiksaan.

1. Jangan mendesak anak
Ibu bapa tidak seharusnya obses dengan keputusan cemerlang dan menekan anak mereka demi kepuasan diri yang akhirnya akan memberi kesan kepada anak mereka. Paling penting beri dorongan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh dan menghargai usaha mereka walaupun keputusan yang dicapai tidak mengikut kehendak mereka.

2. Persiapan mental, fizikal dan rohani
Mewujudkan kemesraan dalam keluarga dan perlu bersikap tegas khususnya dalam konteks mendidik mereka mengenai apa yang boleh dan tidak boleh mereka lakukan bukan sahaja saat menjelang peperiksaan malah biar berterusan. Aspek fizikal seperti pemakanan, tidur yang cukup, aktiviti riadah dan keselamatan diri paling perlu diberikan penekanan kerana pelajar memerlukan kesihatan yang baik bermula dari membuat persediaan mengulang kaji sehinggalah ke dewan peperiksaan kelak.

3. Tetapkan matlamat
Ibu bapa juga perlu menggalak dan membimbing anak-anak membentuk cita-cita mereka. Biarlah cita-cita itu jelas dan bersesuaian dengan bakat dan tidak telalu sukar untuk dicapai.

4. Nilai kebolehan anak
Jangan meletakkan harapan terlalu tinggi kepada anak. Kebanyakan ibubapa hanya inginkan kejayaan seperti 5A, 10A atau straight A, tetapi gagal menilai kebolehan sebenar anak mereka. Lebih teruk lagi mereka meletakkan syarat dan memberi amaran jika anak gagal mencapai sasaran yang diinginkan.

5. Solat jemaah dan doa
Ibubapa hendaklah sentiasa mendoakan anak mereka. Perlu diingatkan bahawa doa ibu bapa kepada anak sangat mustajab. Ibu bapa disarankan supaya memberitahu apa  yang didoakan untuk mereka supaya anak-anak lebih menghargai apa yang dilakukan. Dalam masa yang sama sentiasa ingatkan anak bahawa berusaha dan bertawakkal kepada Allah SWT perlu seiring. Anak-anak perlu juga didorong supaya mereka sentiasa berdoa untuk kejayaan diri sendiri, jangan melewat-lewatkan solat, mengerjakan solat sunat, solat hajat atau berpuasa sunat. Melakukan solat tahajjud, memang terbukti akan membawa keseimbangan dalam hidup sepanjang hari, dan memperbaiki kualiti hidup kita. Sebaik-baiknya ibu bapa hendaklah solat berjemaah dengan anak-anak terutamanya di musim peperiksaan kerana aspek kerohanian penting. Dengan menjaga solat dan sentiasa berdoa kepada tuhan, kita akan diberkati dan dipermudahkan segala urusan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan.

6. Pemakanan seimbang
Banyakkan makan makanan seperti kurma, kismis dan makanan bijiran dan susu. Menyediakan minuman (air bersih) dan makanan berkhasiat seperti jus buah-buahan dan sayuran dapat membantu mencergaskan minda dan fizikal. Sementara itu bagi menghadapi suasana tertekan, mereka perlu diajar cara-cara menangani stres seperti bertenang, menarik nafas panjang, bertukar fikiran dan berkongsi dengan orang rapat seperti ibu bapa atau guru kaunseling.

7. Bangun awal pagi
Pelajar perlu sentiasa melatih diri untuk sentiasa bangun dan tidur awal sekurang-kurangnya tiga bulan sebelum peperiksaan itu supaya pelajar terbiasa dengan keadaan itu ditambah dengan aktiviti riadah yang boleh membantu pelajar sentiasa cergas.

Terdapat beberapa kelebihan bangun awal.

  1. Pagi hari merupakan waktu yang baik untuk pengembangan diri. Suasana masih tenang akan membolehkan anda mengembangkan diri secara profesional, emosional, fizikal, mental dan spiritual.
  2. Tidur lebih awal membuat anda mampu bangun pagi dengan segar dan boleh digunakan untuk bersenam sama ada di rumah atau di gim.
  3. Anda mempunyai masa panjang untuk membereskan urusan kecil supaya ia tidak mengganggu urusan yang lebih besar nanti. Misalnya boleh membuat persediaan yang lebih rapi sebelum ke dewan peperiksaan dan anda akan cukup bersedia untuk menghadapi peperiksaan pada hari tersebut.
  4. Jika anda bangun lebih awal, hari terasa lebih panjang. Dengan demikian, anda boleh melakukan lebih banyak pekerjaan pada hari tersebut. Jika anda rasa ada subjek yang belum habis ulangkaji, tidurlah lebih awal, bangun awal pagi, maka anda dapat mengulangkaji dengan lebih tenang.
  5. Anda boleh bersiap awal dan pergi ke dewan peperiksaan dengan lebih awal. Sekiranya sampai awal anda akan berasa lebih tenang dan bersedia. Kelewatan akan menyebabkan anda menjadi lebih gemuruh dan tertekan serta akan menjejaskan tumpuan menyebabkan anda sukar untuk menjawab soalan.

8. Elak konflik
Ibu bapa juga perlu mengelakkan konflik dengan pelajar sewaktu musim peperiksaan kerana ibu bapa adalah komponen penting dalam kejayaan seseorang pelajar dan restu daripada mereka adalah penting sebelum menduduki peperiksaan. Juga pastikan pelajar tidak mempunyai konflik dengan guru kerana restu daripada guru juga amat perlu dalam proses kejayaan pelajar. Sebelum peperiksaan, pelajar digalakkan memaafkan semua orang yang telah melakukan kesalahan kepada diri mereka dan memohon maaf kepada orang lain terutama ibu baga dan guru supaya hati akan sentiasa tenang dan lapang. Ibu bapa juga perlu memberi dorongan dan keyakinan diri pada setiap waktu terutama sebelum menghadapi peperiksaan sehingga hari terakhir peperiksaan. Pastikan anak anda tidak terlibat dengan aktiviti lasak bagi mengurangkan risiko kemalangan dan pembaziran tenaga.

9. Ganjaran dan hadiah
Konsep hadiah dan ganjaran perlu ada dan perjanjian perlu diwujudkan seperti menjanjikan insentif (hadiah) yang munasabah sekiranya sasaran dicapai.


oleh: Prof Madya Dr Rozmi Ismail

1 ulasan:

  1. perkongsian yang menarik :) sesuai dijadikan rujukan buat ibu bapa dan pelajar2 yang bakal menghadapi peperiksaan :)

    BalasPadam

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...