بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Terima Kasih

Jumaat, 22 Julai 2011

Menepati Janji


google image

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketakwaan kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala dengan melakukan apa jua suruhannya dan menjauhi segala apa jua larangannya.

Dalam kehidupan kita sehari-hari, kita tidak terlepas dari membuat janji sama ada antara sahabat dengan sahabat, rakan sekerja dengan rakan sekerja, pekerja dengan majikan. Kerajaan dengan rakyat. Malah mungkin juga di antara dua golongan yang bermusuhan dan sebagainya. Bahkan juga kadang-kadang berjanji dengan Allah Subhanahu Wataala atau bersumpah dengan nama Allah Subhanahu Wataala untuk membuat sesuatu kebajikan dan meninggalkan sesuatu kemungkaran.

Agama Islam tidak melarang kita membuat janji dengan sesiapa pun atau mana-mana pihak asalkan janji-janji itu ditepati dan ditunaikan khasnya dalam perkara-perkara yang baik dan berkebajikan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Maa-idah, ayat 1:-

Tafsirnya :
Wahai orang-orang yang beriman penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Perjanjian adalah satu amanah yang wajib ditunaikan dan menganggap ringan perjanjian dan tidak menepati apa yang diucapkan adalah dosa besar yang dibenci dan dimurkai Allah Subhanahu Wataala. Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ash-Shaff, ayat 2 – 3:

Tafsirnya :
Wahai orang-orang yang beriman mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak lakukan. Amat besar kebenciannya di sisi Allah, kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Sidang Jumaat sekalian,
Menepati janji adalah sangat-sangat dituntut oleh agama Islam. Dan orang-orang mu’min yang menepati janji akan diberi ganjaran yang sebenar-benarnya oleh Allah Subhanahu Wataala iaitu ganjaran syurga firdaus. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Mu’minuun, ayat 8 - 11:-

Tafsirnya :
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi yang akan mewarisi syurga firdaus, mereka kekal di dalamnya.

Wahai kaum muslimin, ingatlah bahawa mungkir janji adalah perbuatan yang tidak disukai oleh Allah Subhanahu Wataala, yang banyak menimbulkan keburukan kepada pihak-pihak yang berjanji. Sebagai contoh, akibat mungkir janji, sahabat dengan sahabat menjadi renggang, pekerja dengan majikan bermusuhan, suami isteri berselisih faham, ayah dan anak tidak bersefahaman.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyatakan dalam hadith baginda :-

Maksudnya :
Dari tanda-tanda orang munafik itu ada tiga iaitu apabila dia bercakap dia berbohong dan apabila berjanji dia mungkir dan apabila diamanahkan dia khianat.

Ahli Jumaat sekalian,
Islam dalam memimpin umatnya telah mengaturkan bagi mereka adab-adab dalam perjanjian, antaranya adab-adab yang perlu diikuti itu ialah mengucapkan lafaz “Insya-Allah” apabila berjanji suruhan ini telah dijelaskan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-kahfi, ayat 23 dan 24:-

Tafsirnya :
Janganlah engkau berkata mengenai sesuatu yang hendak dikerjakan bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudian nanti melainkan hendaklah disertakan dengan berkata Insya-Allah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa dan katakanlah : mudah-mudahan Tuhanku memimpin ku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini.

Soalan apakah perkataan “Insya-Allah” yang diucapkan itu sebagai janji yang mesti dipenuhi mengikuti hukum syara'? Inilah yang menjadi kebiasaan di kalangan kita apabila berjanji akan mengatakan “Insya-Allah” dengan maksud tidak memberatkan apa yang dijanjikan itu atau dengan kata lain “Insya-Allah” itu diucapkan sebagai alasan untuk tidak memenuhi janji.

Perlu diingat dan difahami bahawa janji adalah wajib ditepati, ini bererti ucapan “Insya-Allah” itu bukanlah sebagai alasan untuk tidak menyempurnakan janji. Bahkan perkataan “Insya-Allah” itu hendaklah disertai dengan azam untuk menyempurnakan janji agar kita tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang dibenci oleh Allah Subhanahu Wataala. Walau bagaimanapun menyentuh perkataan “Insya-Allah” dengan azam untuk melakukan sesuatu itu adalah lebih menepati kehendak agama Islam, kerana kita pasti bahawa kita tidak mampu melakukan sesuatu itu kecuali dengan izin Allah Subhanahu Wataala jua.

Demikianlah wahai kaum muslimin, betapa agama Islam sangat mengambil berat dalam soalan janji, oleh itu berhati-hatilah sebelum berjanji atau menerima janji. Jadikanlah menyebut perkataan “Insya-Allah” itu bagi menyempurnakan mana-mana janji, itulah yang dituntut oleh Agama Islam. Mudah-mudahan dengan berbuat demikian kita akan terhindar daripada sifat-sifat orang munafik.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anfaal, ayat 58 :-

Tafsirnya :
Dan jika kamu khuatir akan terjadinya pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang khianat.

UI: Sumber dari Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei Darussalam

1 ulasan:

C'Jai berkata...

Janji di tepati...hehehe