بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Jumaat, 20 Mei 2011

Bencana budaya gosip



ZAMAN sekarang, gosip seakan-akan budaya kukuh sehingga orang tidak lagi menganggapnya sebagai larangan dalam agama. Malah, ada yang memandangnya sebagai satu gurauan atau gimik dalam melariskan sesuatu perkhidmatan atau produk ataupun bertujuan menjatuhkan seseorang yang lain.

Sebenarnya gosip juga termasuk dalam kategori mengumpat dan ada kalanya lebih kepada berbaur fitnah. Jadi, jelaslah ia sangat bertentangan dengan ajaran Islam.

Memperkatakan mengenai keaiban seseorang lain lalu dijadikan bahan gosip sehingga orang ramai mengetahui adalah satu perbuatan mencemarkan maruah dan peribadi insan lain. Secara tidak langsung masyarakat akan mempercayai apa yang digosipkan. Meskipun bahan gosip tersebut memang benar-benar berlaku ia tetap dilarang syarak untuk didedahkan kepada orang lain.

Dulu syaitan menanam jarum halus melalui perantaraan lisan manusia saja, tetapi pada masa kini syaitan berjaya pula menjebak manusia ke kancah dosa dengan perantaraan tulisan atau bahan berita sensasi yang banyak menimbulkan rasa kurang senang pada pihak yang digosipkan. Sama ada kita mengumpat dengan mulut mahupun tulisan semuanya sama saja kategorinya iaitu melakukan mungkar. Tetapi perbuatan mungkar sebegini dipandang remeh sehingga ia menjadi satu budaya pula dalam masyarakat.

Masyarakat Islam seharusnya sedar mengenai dosa melakukan gosip dan mesti menghindarinya kerana gosip melalui bentuk penulisan adalah satu budaya tiruan dunia Barat. Di Barat memang mereka khususnya dalam dunia hiburan diwarnai dengan bahan sensasi murahan dan dipenuhi dengan berita gosip, tetapi kita sebagai umat Islam tidak sewajarnya mengikut apa yang jelas berlawanan dengan kehendak agama.

Ada pula yang sampai sanggup mengatakan jika tiada berita gosip maka ‘tak ummp lah.’ Hakikatnya, sama ada tak ummp atau ummp, amanah memelihara lidah dan anugerah bakat penulisan mesti dijaga agar sejajar dengan perintah Allah. Lidah kita yang lembut bukan untuk memperkatakan keburukan orang lain. Demikian juga dengan bakat menulis, bukan dikurniakan Allah untuk kita menulis berita yang berunsurkan fitnah dan gosip.

Terdapat dua kemungkaran dalam sesuatu gosip, iaitu dosa mengumpat dan dosa memfitnah. Bayangkan bagaimana berdosanya si pelaku gosip yang mendapat dua dosa sekali gus dalam satu perbuatan. Nabi s.a.w pernah menceritakan gambaran orang yang mengumpat pada malam Baginda diisrakkan.

Golongan yang suka mengumpat diperlihatkan kepada Rasulullah sedang mencakar kulit mukanya dengan kuku. Begitulah balasan orang yang suka mengumpat, tetapi gambaran seperti itu langsung tidak memberikan kesan kepada sesetengah manusia. Manusia pada hari ini berasa jika tidak memperkatakan hal keburukan orang lain seakan sunyi dunia dan kurang bererti dalam kehidupan seharian. Maka jadilah mengumpat itu perkara biasa yang tidak perlu dikhuatirkan. Bilakah agaknya masyarakat kita mampu melenyapkan amalan mengumpat?

Walaupun perbuatan mengumpat itu tidaklah seperti ketagihan rokok atau dadah yang memberi impak negatif kepada anggota badan, namun ia merosakkan jiwa dan meruntuhkan nilai kemanusiaan. Bersabit dengan unsur memfitnah dalam gosip, itu kerana ia mungkin menyelitkan bahan penceritaan yang direka-reka.

Sebenarnya, Nabi sudah memberitahu kita akan munculnya gejala hal fitnah-memfitnah dalam masyarakat Islam. Sabda Nabi, “Akan muncul suatu ketika di mana ilmu Islam dihapuskan, muncul pelbagai fitnah, berleluasanya sifat kedekut dan banyak berlaku jenayah.” (Hadis riwayat Muslim)

Jelaslah apa yang Nabi nyatakan itu sudah ketara terjadi sehingga menjadi budaya dalam masyarakat Islam. Malah, Nabi memberikan amaran bahawa golongan yang terlibat dengan amalan fitnah itu tidak masuk syurga jika tidak bertaubat dan insaf dengan salah lakunya.

Sabda Nabi, “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari).

Sepatutnya kita sebagai orang Islam menutup aib orang lain dan bukan menjadikannya bahan gosip. Inilah ajaran Islam dan sifat inilah yang mesti kita ikutkan. Rasulullah ada mengatakan, “Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak. (Hadis riwayat Bukhari)

Ada pula yang sesetengahnya membahagikan gosip itu kepada dua kategori iaitu gosip biasa dan gosip liar. Sebenarnya mana ada gosip yang tidak liar? Semuanya liar. Justeru, sebagai umat Islam, kita kena kembali bermuhasabah diri sama ada kita pernah terbabit dengan perbuatan gosip dan jika kita pernah berbuat seperti itu, kita wajib bertaubat dan memohon maaf kepada orang yang digosipkan. Ini saja kaedah terbaik untuk kembali ke jalan yang benar.

Wahai Mukmin yang dicintai Allah, hayatilah wasiat Saidina Ali Abi Talib, “Seandainya kamu menyampaikan keburukan saudaramu, jika itu benar, maka bererti kamu sudah membuka aib saudaramu dan jika itu salah, maka kamu sudah melakukan fitnah.”

Begitu juga saudaraku sekalian, Nabi juga ada mengatakan, “Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran, dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Berhati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepada kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta, dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta.” (Hadis riwayat Bukhari)

Begitulah prihatinnya Nabi yang tidak putus-putus semasa hayat Baginda mengingatkan umatnya agar menjauhi menuturkan kata-kata keji, berdusta, mengumpat dan fitnah. Namun, semua tegahan dan pesanan Nabi dipandang sepi dan tidak melekat di hati. Insaflah saudaraku, bahawa setiap apa yang kita lakukan di dunia ini akan dihitung satu persatu di akhirat kelak.

Tiada satu benda pun yang tertinggal. Semuanya akan dihisab di mahkamah keadilan Allah. Justeru, saya menyeru diri sendiri dan saudaraku sekalian, marilah kita membersihkan diri dengan sebersih-bersihnya daripada kotoran dosa.

UI: Info dari myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...