بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Isnin, 18 April 2011

Hak dan Tanggungjawab Isteri



Al-Quran menyentuh kerukunan hidup berpasangan adalah suatu nikmat anugerah Allah yang sangat dihargai, iaitu dalam ayat 21 surah al-Rum yang membawa terjemahan: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatnya bahawa Ia menciptakan untuk kamu pasang-pasangan hidup dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.

Ayat ini menjelaskan, ketenangan hati dan kemesraan hidup dengan pasangan, merupakan nikmat yang sangat besar dan tujuan utama perkahwinan didirikan.

Justeru hubungan sulit menentukan kebahagiaan suami isteri, maka Islam menjadikannya sebagai amalan yang ada pahala padanya. Dalam sebuah hadis yang panjang, diriwayat Muslim daripada Abu Zar Al-Ghifari r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apakah kegiatan seks itu diberi pahala, sedangkan ia dilakukan semata-mata kerana nafsu? Sabda baginda lagi: Bukankah menjadi dosa jika dilakukannya pada jalan haram? Begitu juga ada pahala, kerana ia melakukannya pada jalan yang halal.

Insan dalam syariat Islam, sama ada lelaki mahupun wanita adalah makhluk yang memikul beban tugas pada masa yang sama juga mempunyai hak atas segala tanggungjawab yang disempurnakan.

Ajaran Islam berbeza dengan budaya yang diamal dalam masyarakat Barat. Mereka selalu bertanya: Apa hak yang patut saya peroleh? Sebaliknya Islam mengajar umatnya supaya bertanya: Apa kewajipan saya yang saya belum penuhi, kemudian baru beralih kepada hak yang patut saya peroleh? Memang majikan dituntut membayar upah, tetapi setelah kerja sempurna dijalankan. Sabda Nabi: Bayarlah upah kepada pekerja sebelum kering keringatnya.

Hak seseorang manusia pada hakikatnya suatu kewajipan yang ditanggung orang lain. Sebagai contoh, hak anak-anak mendapatkan kasih sayang ibu bapa, pada masa yang sama ia adalah tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anaknya. Anak-anak seolah-olah berhutang kasih sayang pada kedua-dua ibu bapanya, kerana mereka bertanggungjawab mentaati ibu bapanya, terutama setelah mereka uzur atau lanjut usia.

Hubungan antara suami isteri adalah dibuat melalui suatu kontrak yang membabitkan sama-sama mempunyai hak dan tanggungjawab secara timbal balas. Setiap tanggungjawab yang disempurnakan, sepatutnya dibayar dengan hak yang dinikmati. Dengan kata lain, suami dan isteri, masing-masing mempunyai hak mengambil dan memberi. Tiada hak yang diambil dengan percuma, tanpa tanggungjawab yang diberi.

Kita ikuti apa kata Syeikh Muhammad al-Ghazali yang menulis struktur asas bagi pembinaan rumah tangga bahagia, katanya:

Sesebuah rumah hendaklah dibina di atas tiga struktur asas, iaitu: al-sakinah (ketenangan), al-mawaddah (kemesraan) dan al-tarahum (timbang rasa). Asas pertama ketenangan, ia membawa maksud hendaklah suami isteri berpuas hati dengan pasangannya, mereka seharusnya tidak berminat dengan yang lain. Kedua, kemesraan pula membawa erti suka dan duka secara bersama. Ketiga, timbang rasa pula lebih banyak merujuk kepada akhlak yang mulia, serta tahu bersyukur atas nikmat yang diperoleh.

Sesebuah rumah yang berjaya didirikan di atas tiga struktur ini merupakan keluarga yang paling bahagia, bahkan inilah keluarga yang mampu mengatasi segala cabaran hidup dan ibu bapa yang bakal melahirkan zuriat yang sihat dan keberkatan yang berpanjangan.

Harta benda dan kemewahan hidup tidak pernah menjamin kebahagiaan yang dicari-cari, kadang-kadang hidup di sebuah rumah usang, pasangan lebih mampu mengukir senyum yang berterusan. Perhatikan sebuah hadis riwayat Sa'd ibn Abu Waqqas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga perkara yang membahagiakan: Isteri yang setia, kenderaan yang senang ditunggangi dan kediaman yang selesa.

Seseorang yang ada niat mendirikan rumah tangga, hendaklah berhati-hati mencari pasangan yang ada padanya ciri-ciri yang disebutkan dalam hadis di atas. Lelaki dan perempuan sama sahaja, bahkan perempuan lebih perlu berhati-hati dalam memilih bakal suaminya.

Perlu diingat, kalangan lelaki ada juga yang hanya berfikir tentang haknya, tetapi lupakan tanggungjawab. Selalunya orang ini sombong atau besar diri, tidak sudi melihat keperluan pada pihak lain. Rumah tangga Islam perlu didirikan di atas hak dan tanggungjawab bersama, mengikut kaedah yang dinyatakan dalam al-Quran, iaitu isteri-isteri mempunyai hak yang sama, seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka. Dalam pada itu orang lelaki mempunyai satu darjah kelebihan, (al-Baqarah: 228). Satu darjah kelebihan yang dimaksudkan ialah menjadi ketua keluarga, atau pengerusi dalam persyarikatan hidup.

Menjadi isteri memerlukan kelayakan yang cukup. Wanita yang berhati batu, tidak pandai memujuk suami, sering menuntut hak dan mengada-adakan masalah, tetapi gagal menunaikan tanggungjawab, tidak layak menjadi suri rumah, apalagi menjadi ibu kepada anak-anak yang bakal menyambung zuriat. Kelayakan yang serupa juga hendaklah dikatakan kepada lelaki yang berminat menjadi suami.

Suatu kisah yang cukup menarik diriwayat Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya: Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah kerana anak gadisnya tidak mahu berkahwin. Sabda Nabi kepada gadis itu: Patuhilah kehendak bapamu. Jawab gadis: Saya tidak akan kahwin sehingga Rasulullah menyatakan apa tanggungjawab saya sebagai isteri. Baginda Rasulullah s.a.w bersabda: Jika suamimu berkudis, lalu engkau rawat kudisnya dengan mulutmu, maka perbuatan itu tidak wajar dianggap sebagai keterlaluan. Jawab gadis: Demi Allah, kalau begitu tugas isteri, aku tidak akan kahwin selama-lamanya. Sabda Nabi kepada bapanya: Jangan engkau paksa dia kahwin. Biarlah dia membuat keputusan sendiri - (Qadaya al-Mar'ah, halaman 128).

Sebenarnya apa yang dikatakan kepada isteri terhadap suami, itulah juga dikatakan kepada lelaki terhadap isterinya. Jika ada suami yang berasa jijik merawat kudis-kudis isterinya, atau isteri hanya di waktu sihat sahaja, maka lebih baik bagi lelaki ini berpuasa sahaja, sesuai dengan nasihat Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Sesiapa yang tidak mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa, kerana puasa menjadi pengikat nafsunya. Wallahualam.

UI: Sumber dari http://skypin.tripod.com/agama/soal7.html

3 ulasan:

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...