بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Sabtu, 26 Mac 2011

Kasih Sayang Terapi Urutan (Bayi)


Sumber Kosmo! 25 Mac 2011

JENAMA produk penjagaan bayi, Johnson’s baby, baru-baru ini melancarkan Siri Bengkel Urutan Bayi Touch yang diadakan setiap tahun untuk mendidik para ibu atau bakal ibu mengenai teknik-teknik urutan bayi yang berkesan.

Siri bengkel tersebut akan diadakan dengan kerjasama KPJ Healthcare Berhad, pembekal perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta utama yang mempunyai lebih daripada 20 buah hospital di Malaysia.

KPJ Healthcare akan memberikan sokongan melalui satu pasukan profesional yang akan memberi ceramah dan panduan untuk ibu bapa pada bengkel interaktif dan amali, yang akan diadakan di lapan buah negeri di seluruh Malaysia pada bulan Mei dan Jun tahun ini.

Pengarah Pemasaran Johnson & Johnson Sdn. Bhd., Stanford Guo berkata, urutan amat penting bagi meningkatkan perkembangan bayi.

“Selain pemakanan atau susu ibu, sentuhan seorang ibu mempunyai kesan paling efektif ke atas bayi.

“Sentuhan adalah ekspresi fizikal yang menandakan kasih sayang dan teknik-teknik urutan yang betul terbukti mempunyai kebaikan untuk perkembangan fizikal dan emosi bayi,” katanya.

Penyakit misteri

Tambahnya, dalam kaji selidik yang dijalankan pada tahun 1915 di rumah-rumah anak yatim di Amerika Syarikat (AS) mendapati, kadar kematian bayi yang berumur kurang satu tahun adalah hampir 100 peratus.

Kadar kematian yang tinggi itu bukanlah kerana kekurangan makanan yang berkhasiat atau keadaan yang kurang bersih tetapi bayi yang menghidap marasmus iaitu penyakit misteri yang mengakibatkan mereka hilang selera makan, tiada tenaga dan tidak bermaya. Penyakit itu dipercayai berlaku kerana bayi kurang mendapat sentuhan.

“Kajian di hospital Bellevue New York yang dijalankan pada tahun 1938 pula mendapati kadar kematian bayi berumur di bawah umur satu tahun menurun dari 30 peratus kepada kurang daripada 10 peratus apabila para jururawat memulakan rutin harian menyentuh dan membelai bayi.

“Kajian-kajian ini mengesahkan betapa pentingnya sentuhan untuk bayi yang baru lahir dan juga menunjukkan bahawa sentuhan ibu turut melambangkan tanda kasih sayang yang nyata untuk anaknya,” kata Guo.

Dalam pada itu, Datuk Dr. Zulkifli Ismail yang membuat pembentangan mengenai kepentingan urutan bayi semasa pelancaran tersebut menjelaskan, susu ibu membekalkan antibodi penting dan khasiat untuk melindungi serta membantu bayi membesar, manakala urutan bayi merangsang perkembangan fizikal dan kesejahteraannya.

“Selain itu, percakapan dan hubungan mata yang dilakukan antara ibu bapa dan bayi semasa mengurut mengeratkan hubungan mereka.


DR. ZULKIFLI (kiri) menunjukkan teknik urutan yang betul kepada ibu-ibu untuk bayi.

“Mengurut adalah cara asuhan dan penyembuhan yang diamalkan oleh pelbagai budaya di seluruh dunia sejak berabad lamanya. Pengamal kesihatan terdahulu telah mencuba untuk memahami bagaimana sentuhan dan urutan boleh memberikan kesan ajaib tetapi tiada penemuan ketara yang diperoleh sehinggalah pada kebelakangan ini,” ujarnya.

Dr. Tiffany Field, seorang profesor di University of Miami School of Medicine yang mengetuai Touch Research Institute menemui hubungan antara terapi sentuhan dan manusia. Beliau mendapati banyak kebaikan terutamanya bagi bayi dan kanak-kanak.

Menurut Field, bagi bayi dan kanak-kanak, sentuhan adalah sama penting seperti makan dan tidur. Pada asasnya, terapi sentuhan atau urutan boleh merangsang saraf otak yang membantu penyerapan zat makanan dan mempercepatkan penambahan berat.

Sentuhan turut mengurangkan tahap hormon tekanan dan hasilnya, mempertingkatkan fungsi imuniti.

Berat bertambah

Dr. Zulkifli yang mengguna pakai teknik urutan yang disarankan oleh Touch Research Institute berkata, kajian juga menunjukkan urutan pada bayi mampu mengurangkan tahap dan tempoh kolik pada bayi dan memperbetulkan masalah tidur di kalangan kanak-kanak. Urutan dapat membantu mereka tidur dengan lebih cepat dan kurang terjaga pada waktu malam.

Kajian tempatan yang dijalankan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) antara tahun 2000 dan 2001 ke atas 72 orang bayi jaundis, mengalami peningkatan berat badan pada bayi yang diurut berbanding bayi yang tidak diurut. Ini juga dikaitkan dengan pemberian nutrisi yang lebih baik pada bayi yang diurut.

Kajian tersebut menunjukkan, terapi sentuhan juga membantu bayi pramatang menambah berat badan lebih cepat, memperbaiki fungsi pernafasan kanak-kanak yang menghidap asma dan bagi kanak-kanak diabetes pula bertindak balas positif dengan rawatan mereka.

Acara kemuncak majlis pelancaran tersebut menampilkan Erra Fazira, pelakon dan ibu yang mempercayai bahawa sentuhan ajaib seorang ibu boleh membawa perubahan yang membantu bayi berkembang dalam pelbagai cara yang positif.

Erra yang menyokong urutan bayi menggalakkan semua ibu bapa di Malaysia untuk mengamalkan urutan Touch.

“Sama ada untuk kebaikan fizikal atau emosi, pengalaman mengurut bayi membantu ibu bapa menenangkan fikiran dan berkomunikasi dengan anak mereka, menjadikan mereka lebih yakin dengan kemahiran penjagaan anak dan yang penting sekali, menjadi lebih peka terhadap keperluan anak mereka,” katanya.

Untuk menjadikan urutan bayi ini lebih bermakna dan sebagai aktiviti kebiasaan antara ibu bapa dan anak, Johnson’s baby mengarahkan penerbitan lagu Touch, boleh didapati dalam bentuk cakera padat (CD) dan akan diberikan kepada ibu bapa yang menyertai bengkel pada masa akan datang.

“Jangan lupa untuk menggunakan minyak Johnson’s® baby setiap kali anda mengurut bayi kerana minyak bayi boleh mengurangkan geseran antara tangan anda dan kulit bayi, yang akan memberikan tekanan kepada bayi,” pesan Guo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...