بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Jumaat, 28 Januari 2011

Roh Bahagia, Roh Derita (Fatul Ghaib)

Kuliah Syeikh Abdul Qadir Jailani



Roh manusia berada di dalam dua keadaan, tidak ada tiga. Iaitu dalam keadaan bahagia atau dalam keadaan derita. Apabila ia dalam keadaan derita, maka timbullah perasaan resah gelisah, merunggut, tidak reda, mengkeritik dan menyalahkan Allah, tidak sabar, tidak tawakkal, timbul akhlak buruk, menyekutukan Allah dengan yang lain, dan akhirnya tidak percaya atau kufur.

Apabila ia dalam kesenangan, maka ia menjadi mangsa tamak haloba, hawa nafsu kebinatangan dan keiblisan. Nafsunya tidak puas-puas. Ia hendakkan barang yang ditentukan kepada orang lain. Maka tidak lepas-lepaslah ia dalam kesusahan dan derita sama ada di dunia atau di akhirat.

Sesungguhnya hukuman yang paling azab ialah mencari atau menuntut apa yang bukan diuntukkan kepada kita.

Apabila ia dalam kesusahan, tidaklah ia mahu yang lain kecuali meminta kesusahan itu dihilangkan dan tidaklah ia ingat kepada keseronokkan dan kehendak kepada apa-apa yang mensukacitakan. Tetapi bila ia diberi kesenangan dan keseronokkan, maka kembalilah ia tamak, dengki, ingkar dan melakukan perkara-perkara berdosa dan bermaksiat. Lupalah ia kepada penderitaan yang dialami olehnya dahulu.

Maka ia akan dikembalikan semula mengalami kesusahan dan penderitaan yang lebih dahsyat daripada dahulu lagi kerana ia telah berdosa dan perlu dihukum. Dengan cara ini ia akan sedar dan menjauhkan dirinya dimasa akan datang dari melakukan dosa dan noda. Kesusahan dan penderitaan itu dapat menyelamatkannya.

Sekiranya ia berkelakuan baik ketika derita dan kesusahan dibuang darinya, serta patuh, syukur dan reda dengan Allah, maka itu adalah lebih baik kepadanya di dunia dan di akhirat. Allah akan tambah kurniaan, nikmat, kebahagiaan keselamatan pada dia.

Oleh yang demikian, barangsiapa berkendak keselamatan dalam hidup di dunia ini dan di akhirat, maka hendaklah tanamkan perangai sabar, rela bertawakkal kepada Ilahi, jauhkan merunggut terhadap manusia dan dapatkan segala keperluan dari Allah Yang Maha Agung. Patuhlah kepada Allah dan abdikan diri kepada Allah sahaja. Allah lebih baik dari selain Allah.

Selalunya apa yang tidak disampaikan kepada kita itu adalah sebenarnya satu kurniaan atau hadiah. Hukuman itu adalah satu kebaikan. Penderitaan yang ditimpakan oleh Allah itu adalah satu ubat. Semua perbuatan Allah kepada makhlukNya adalah baik dan berdasarkan hikmah kebijaksanaan Allah. Allah sahaja Yang Maha Tahu. Manusia tidak mengetahui ilmu Allah sedalam-dalamnya. Dengan itu, adalah lebih baik si hamba terus bertawakkal, menyerah kembali kepada Allah, melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah. Jangan salahkan Allah dan merunggut serta mengatakan Allah zalim dan tidak tahu atau sebagainya. Jangan salahkan lakunan Allah.

nota: terbitan Ustaz Zakaria Talib

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...