بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Rabu, 8 Disember 2010

Tiada persefahaman punca utama cerai


KUALA LUMPUR – Kurang persefahaman antara suami isteri menjadi punca utama perceraian di kalangan umat Islam di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, ia merupakan hasil kajian yang dijalankan oleh Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Jun 2005 ke atas perceraian yang berlaku bagi tempoh 2003-2004.

"Di pihak suami, tiada persefahaman merupakan punca paling utama perceraian iaitu sebanyak 43.33 peratus, tidak bertanggungjawab (32.93 peratus), masalah akhlak dan sosial (12.03 peratus), masalah pihak ketiga (5.54 peratus) dan masalah ekonomi (2.62 peratus),” katanya pada sesi soal jawab di Persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) yang ingin tahu punca utama perceraian di kalangan umat Islam di negara ini.

Jamil Khir berkata, bagi pihak isteri pula, punca perceraian kerana tiada persefahaman adalah sebanyak 69.44 peratus, tidak bertanggungjawab (17.68 peratus), masalah akhlak dan sosial (5.84 peratus), masalah pihak ketiga (4.42 peratus) dan masalah seksual (1.38 peratus). – Bernama

Keratan KOSMO di atas menunjukkan peratus tertinggi perceraian adalah disebabkan tiada persefahaman antara pasangan. Memang itu yang paling penting dalam sesuatu perhubungan. Kalau tidak memahami mana sanggup tinggal sebumbung. Persefahaman bukan mengambil masa yang singkat tetapi agak lama. Di situ banyak kesabaran diperlukan. Apa pun yang penting kita bersuara apa yang kita tidak suka pada pasangan kita. InsyaAllah... kalau masing-masing inginkan kedamaian pasti sanggup berkorban demi pasangan.

Bukannya susah, terimalah pasangan kita seadanya... jangan meminta apa yang dia tak mampu berikan. InsyaAllah, dengan kesabaran kita tuhan berikan rahmat yang kita sendiri tak sangka. Anggaplah pasangan kita sebahagian dari hidup kita. Bila kita keluarkan diri pasangan kita dari dalam diri kita maka kita semakin jauh dan malah tidak akan menghargai apa yang mereka lakukan sebelum ini. Mencari kekurangan adalah satu cara yang salah... pandanglah kelebihan pada mereka. 

Tiada insan yang sempurna... carilah kesederhanaan dalam setiap segi. Jika tuhan berikan lebih itu adalah bonus untuk kita. Setiap detik kita sentiasa belajar soal kehidupan... setiap yang berlaku adalah ujian dari Allah... cuma kita perlu berfikir dan bertindak mengikut akal yang waras bukan mengikut nafsu. Perceraian adalah perkara yang dibolehkan tetapi yang dibenci dalam islam. Selagi boleh bertahan tu bertahanlah... melainkan suami tu kaki pukul, tak bagi nafkah, buat maksiat dan sebagainya yang melanggar hukum agama. 

Tak semestinya hidup dengan teman yang baru kita lebih bahagia. Ada juga cerita isteri meminta cerai kerana hidup susah dan akhirnya suami tadi menjadi kaya raya. Semua itu kerja tuhan... kita sebagai hambanya lalu sahaja apa yang diatur olehNya... apa pun yang kita corakkan dalam kehidupan kita sampai masa tuhan ingin mengubahnya ia akan bertukar juga... mohonlah semoga rumahtangga kita sentiasa aman damai dan dijauhkan dari gangguan iblis yang memesongkan hati kita dan gembira melihat masjid yang kita bina runtuh.

1 ulasan:

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...