بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Selasa, 7 Disember 2010

Salam Maal Hijrah / Muharram 1432H


PENGENALAN

MUHARAM adalah bulan pertama dalam Sistem Kalendar Islam (Hijriah). Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91).

Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).

Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.

Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.

SEJARAH

Permulaan penggunaan Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar Al-Khatab radhiyallahu `anhu. Ini adalah turutan dari Kesatuan Arab yang ditubuhkan di bawah naungan Islam pada zamannya.

Ada satu riwayat lain yang mengatakan bahawa Gabenor Abu Musa Al-As'ari telah mengirimkan surat kepada Saidina Umar r.a minta beliau menjelaskan tentang tahun bagi tarikh surat/arahan Umar yang telah dihantar kepadanya. Maka dengan ini beliau (Umar r.a) mahukan satu kalendar / taqwim Islam yang khas untuk menggantikan tahun rujukan kalendar yang berbagai-bagai yang digunakan oleh bangsa-bangsa Arab dan bangsa-bangsa lain pada zaman itu.

Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.

Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu.

Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitulmuqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjid Al Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.

PERISTIWA- PERISTIWA PENTING

1 Muharram - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
10 Muharram - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharram juga telah berlaku:
  1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
  2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
  3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
  4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
  5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
  6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
  7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
  8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
  9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
  10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
  11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
  12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
  13. Hari pertama Allah menciptakan alam.
  14. Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
  15. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
  16. Allah menjadikan 'Arasy.
  17. Allah menjadikan Luh Mahfuz.
  18. Allah menjadikan alam.
  19. Allah menjadikan Malaikat Jibril.
  20. Nabi Isa diangkat ke langit.
AMALAN SUNAT

1 – 10 Muharram adalah disunatkan berpuasa.

16 perkara yang sunat dilakukan pada hari yang ke 10 Muharram

  1. Selepas waktu Asar hari yang ke 9 Muharram - Ambil satu bekas yang berisi air dan dibacakan surah Al-Fatihah sebanyak 7 kali (Apabila sampai bacaan kita pada ayat “Iyya kanak budu” kita berdoa di dalam hati tentang hajat kita – terutamanya untuk anak-anak. Kemudian air tersebut disapukan ke muka anak-anak ataupun diberi minum
  2. Puasa sunat pada hari 9 Muharram (Tasua’) dan 10 Muharram (Asaura). Pahalanya adalah seperti 10 ribu kali mengerjakan haji dan 10 ribu kali mengerjakan umrah.
  3. Menyapu kepala anak yatim. Caranya ialah dari bahagian belakang kepala ke hadapan. Allah akan mengangkat darjat kita.
  4. Memberi makan kepada orang yang berpuasa. Pahalanya adalah sama seperti memberi makan kepada semua umat Muhammad.
  5. Mandi sunat. Allah akan menghilangkan penyakit-penyakit/jauhkan dari penyakit.
  6. Menziarahi rumah orang alim.
  7. Menziarahi orang sakit. Sama seperti kita menziarahi seluruh anak Adam
  8. Melebihkan perbelanjaan dari hari biasa/Meluaskan nafkah keluarga.
  9. Bercelak mata – Boleh menghindarkan dari sakit mata
  10. Menziarahi kaum keluarga
  11. Mengerat kuku
  12. Membaca surah Al-Ikhlas sebanyak 1 ribu kali. Allah akan memandang dengan belas kasihan.
  13. Sembahyang sunat 4 rakaat – 2 salam (2 rakaat x 2). (Sahaja aku sembahyang sunat mutlak 2 rakaat kerana Allah Taala) Baca surah Al-Ikhlas 15 kali bagi 1 rakaat. Allah akan mengampunkan dosa 50 tahun yang lalu
  14. Banyakkan bersedekah. Allah akan menggandakan pahala 1 kepada 700.
  15. Beri makan/pakaian kepada fakir miskin. Allah akan beri balasan 70 kali ganda semasa di dalam syurga.
  16. Berzikir (Hasbi Allahu wanikmalwakil, nikmal maula wanikmalnasir) sebanyak 70 kali

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...