بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Friends

Jumaat, 31 Disember 2010

Bola sepak: Terima kasih Rajagopal, terima kasih Harimau Malaya

Saya sekarang pun dah minat bola... terikut-ikut dengan hobi ayah Iman. Dulu siap marah-marah apa yang seronok sangat tengok bola? tulah tak kenal maka tak cinta. Sekarang saya lagi lebih-lebih dari ayah Iman bila tengok bola.. ha3 kelakar. Apa pun asuhan K Rajagopal memang menjadi. Pemain-pemain yang dilentur nampaknya memang bertaraf professional.. lebih-lebih lagi Khairul Fahmi Che Mat penjaga gol Malaysia yang baru berusia 21 tahun berasal daripada Kelantan yang banyak menyelamatkan pintu gol Malaysia. Tak lupa juga Safee Sali yang banyak menjaringkan gol dan Shahrul yang banyak membantu mencari peluang menghantar bola di depan pintu gol. Tahniah buat mereka. Selama 14 tahun menanti akhirnya Piala AFF Suzuki Cup 2010 milik Malaysia. Teruskan usaha kalian hingga boleh ke perlawanan dunia pula...






KUALA LUMPUR -- Ramai pasti tidak lupa detik-detik ketika Hassan Sani melorongkan bola kepada James Wong yang merembat masuk gol kemenangan Malaysia 2-1 ke atas Korea Selatan pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik di Stadium Merdeka pada 1980.

Seluruh negara melonjak gembira. Perasaan itu dirasai semula malam kelmarin, selepas 30 tahun.
Bola sepak Malaysia begitu disegani di Asia pada era 1950-an, kemudiannya ketika era legenda Mokhtar Dahari, R.Arumugam, Soh Chin-Aun dan Santokh Singh.

Selepas kemenangan gandingan James Wong-Hassan Sani, bola sepak negara mulai merudum pada 1990-an dan awal 2000-an.

Ia tampak bangkit semula Disember tahun lepas apabila skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA di Vientiane, Laos. Kejayaan memenangi Piala AFF Suzuki 2010 selepas mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2 mengesahkan Malaysia jaguh sebenar bola sepak Asia Tenggara.

Malah pasukan yang sama juga mencipta kejutan apabila menewaskan Korea Selatan 1-0 tahun ini.

Pujian kepada jurulatih tempatan, K. Rajagobal, 54, yang mula menjadi jurulatih kebangsaan bawah 23 tahun sejak April 2009.

Skuad bimbingannya telah berjaya "mengajak" penyokong bola sepak supaya memenuhi semula Stadium Nasional di Bukit Jalil. Buat pertama kalinya Stadium Nasional dipenuhi 85,000 penonton bola sepak semasa perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki Ahad lepas.

Tidak mustahil penyokong negara beramai-ramai mengibarkan Jalur Gemilang di Stadium Gelora Bung Karno jika tidak wujud keraguan terhadap keselamatan di Jakarta Rabu lepas.

Kali terakhir Stadium Nasional padat dengan kebanjiran penonton ialah ketika perlawanan persahabatan skuad kebangsaan menentang pasukan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United FC pada 18 Julai 2009.

Lebih bermakna kejayaan Malaysia kali ini apabila skuad kebangsaan terdiri daripada anak jati Malaysia.

Selepas mengambil alih jawatan jurulatih kebangsaan daripada B. Sathianathan, Rajagobal telah membuat kenyataan bahawa beliau meminta tempoh tiga tahun untuk membentuk skuad yang mampu mengembalikan keagungan bola sepak negara.

Semasa Sukan Asia 2010 di Guangzhou baru-baru ini, skuad negara yang menghadapi masalah kecederaan turut membuat kejutan apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua meskipun terpaksa akur apabila dibelasah Iran 1-3.

Selepas beraksi di Sukan Asia, skuad "Harimau Malaysia" cuma berehat seminggu sebelum menyambung latihan bagi mempersiapkan diri untuk kejohanan bola sepak Piala AFF Suzuki.

Rajagobal, yang memegang lesen A Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), pernah melatih pasukan Selangor pada tahun 2000 dengan membawa pasukan tersebut menjuarai Liga Perdana Satu, separuh akhir Piala Malaysia dan Suku Akhir Piala FA.

Selain itu, beliau juga pernah membawa Kelantan sehingga peringkat separuh akhir pada musim 2001/2002 Piala Malaysia sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih skuad bawah 21 tahun kebangsaan dari tahun 2003 hingga 2009.

Rajagobal pernah berkata tiga aspek penting jika mahu kembali disegani di peringkat Asia Tenggara ialah pembangunan pemain peringkat akar umbi, pembangunan jurulatih dan Liga Malaysia sendiri perlu menghasilkan pemain-pemain yang berpotensi.

"Saya tahu dan seluruh rakyat tahu bahawa ia merupakan satu perkara yang tidak mudah tetapi saya akan cuba memberikan yang terbaik dan bersikap realistik," katanya selepas dilantik tahun lepas.

Beliau berkata ketiadaan pemain import merupakan peluang terbaik bagi pemain tempatan untuk menonjolkan prestasi masing-masing.

Rajagobal dikenali sebagai seorang yang peramah dan merendah diri tetapi tetap tegas ketika berada di atas padang mengendalikan sesi latihan buat anak didiknya.

Sebagai bekas pemain kebangsaan, beliau dikenali sebagai seorang "nippy striker" yang pernah bermain bersama pemain legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari lewat zaman 1970-an.

Ketika itu, beliau bermain untuk pasukan PKNS FC dalam liga semi-pro negara dari tahun 1978 hingga 1989.

Kejayaan Rajagobal dan skuad Harimaunya kini menyemarakkan semangat Malaysia melangkah ke tahun baru dengan lebih yakin untuk mencatat lebih banyak kejayaan.Terima kasih Rajagobal. Terima kasih Harimau Malaysia. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih tinggalkan catatan di sini...